SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 182,000 kotak rokok seludup jenama John yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.84 juta ke negeri ini baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Abdullah Jaafar berkata, cubaan membawa masuk rokok seludup ke Negeri Sembilan tumpas selepas anggota JKDM negeri menahan sebuah lori jenis Isuzu lima tan pada pukul 1.30 pagi, 5 Februari lalu.
“Lori itu ditahan di sebuah lokasi di bahu jalan sebelum Plaza Tol Rasah dekat sini hasil daripada pemantuan dan risikan kami. Secara keseluruhan anggota kami menemui 3,640,000 batang rokok yang dibalut plastik hitam dalam lori berkenaan.
“Pemandunya bagaimanapun sempat melarikan diri bagi mengelak daripada diberkas anggota kami,” katanya pada sidang media di bangunan Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Negeri Sembilan di sini hari ini.
Abdullah berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai barangan, maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut beliau, JKDM masih menjalankan siasatan lanjut berhubung status lori tersebut yang dipercayai datang ke Negeri Sembilan dari kawasan Pelabuhan Klang, Selangor.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan rokok jenama John tersebut diseludup masuk ke negara ini melalui jalan laut.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan supaya menghubungi talian bebas tol JKDM 1-800-88-8855.
“Kami memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan dan pemberi maklumat akan diberi ganjaran wang tunai bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes,” katanya. – K! ONLINE










