Rayzam berlanggar tangan dua kali - Utusan Malaysia

Rayzam berlanggar tangan dua kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAGUH 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian sekadar meraih pingat gangsa Pra Sukan Asia 2018 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia disebabkan masalah teknikal sewaktu aksi final Ahad lalu.

Rayzam, 30, sebenarnya berpeluang menjuarai saingan itu jika tidak berlanggar tangan pemenang pingat emas dari Hong Kong, Chan Chung Wang sebanyak dua kali ketika melintasi pagar ketiga dan keenam perlumbaan tersebut.

“Pelari Hong Kong itu lompat menggunakan kaki kiri dan saya pula dengan kaki kanan. Memang biasa akan berlanggar tangan dan menyebabkan saya hilang momentum.

“Kalau tidak ada perlanggaran mungkin saya boleh memenangi saingan itu dengan mencatatkan masa sekitar 13.80 saat (s). Bagaimanapun, saya berpuas hati kerana ia adalah kejohanan pertama saya tahun ini.

“Jurulatih (Jan May) saya juga tiada masalah dan menyuruh saya sekadar ‘memanaskan badan’ untuk kejohanan ini. Catatan 14.01s ini sudah bagus buat saya untuk kejohanan pertama tahun ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Rayzam, pemegang rekod 110m lari berpagar kebangsaan dengan catatan 13.67s, me­raih tempat ketiga di belakang Chung Wang yang mencatatkan 13.93s dan Yang Wei-Ting dari Taiwan (13.99s).

Saingan hari ketiga acara olahraga Pra Sukan Asia 2018 semalam menyaksikan pemegang rekod baling tukul besi lelaki kebangsaan, Jackie Wong Siew Cheer berjaya me­raih pingat emas dengan catatan 64.96m.

Pemenang pingat gangsa 200m Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), G. Aravin Thevar berjaya mendapat tempat ketiga acara 200m dengan catatan masa 21.67s, manakala atlet lompat kijang wanita negara, R. Kirthana sekadar menghuni kedudukan keempat semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×