55 bayi ADAM50 DUN Langkap diraikan - Utusan Malaysia

55 bayi ADAM50 DUN Langkap diraikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU 13 Feb. – Seramai 55 bayi yang didaftarkan sebagai penerima insentif awal Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) dan ibu mereka diraikan dalam Majlis Berendoi Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap di Dewan Sivik Calok Kedai, dekat sini dalam suasana penuh meriah, petang tadi.

Perasmian program yang julung kali diadakan di negeri ini dilakukan oleh isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria dalam majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut, Datuk Sabri Mohd Nor dan isteri, Datin Rohasidah Abas.

Acara berendoi bayi dilakukan oleh Halina sebagai gimik perasmian, dan kemudiannya bersama Rohasidah memotong jambul setiap bayi dalam program yang turut diharap dapat merapatkan hubungan kalangan ibu dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.

Skim ADAM50 diperkenalkan oleh kerajaan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada semua bayi warganegara Malaysia, yang lahir dalam tempoh masa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 sebagai salah satu jaminan masa depan mereka.

Bayi yang berdaftar dengan skim ADAM50 akan dihadiahkan dana tabungan percuma dalam bentuk unit insentif bernilai RM200 sebagai modal pelaburan permulaan yang akan dikreditkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) bagi bayi bukan Bumiputera. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×