Polis tumpas kumpulan samun kedai emas didalangi jurujual - Utusan Malaysia

Polis tumpas kumpulan samun kedai emas didalangi jurujual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan kumpulan samun sebuah kedai emas di Kota Damansara bersenjatakan pistol yang didalangi seorang jurujual dengan tertangkapnya 11 orang lelaki dalam serbuan berasingan antara 9 Februari lalu hingga semalam. 

Kesemua suspek berusia 22 higga 30 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Selangor. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah kedai emas yang terletak di pasar raya Giant, Kota Damansara kira-kira pukul 12 tengah hari pada 8 Februari lalu. 

Katanya, dalam kejadian tersebut tiga suspek yang memakai topeng muka berjaya melarikan lapan dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM750,000 dengan selaras senjata api jenis Pump Gun milik pengawal keselamatan kedai. 

“Suspek kemudian meninggalkan senjata api tersebut di luar pasar raya itu dan melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Mazlan berkata, susulan kejadian itu, dalam tempoh 24 jam pihak polis berjaya menahan tiga lelaki pada 9 Februari lalu, kira-kira pukul 11 malam dan merampas kereta Myvi yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.  

Katanya, hasil soal siasat lanjut dan maklumat orang ramai membawa kepada penahanan lapan lagi suspek lelaki termasuk dalang utama kegiatan samun itu yang juga seorang jurujual di kedai emas berkenaan. 

“Penahanan kesemua anggota kumpulan penjenayah itu dipercayai turut menyelesaikan kes samun di premis yang sama pada 2 November tahun lalu,” ujarnya. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×