UAE bantu selesai kes penahanan rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

UAE bantu selesai kes penahanan rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 12 Feb. – Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan komitmen untuk membantu menyelesaikan kes penahanan jurutera awam warga Malaysia, Richard Lau di Dubai mengikut lunas undang-undang negara tersebut.

Kenyataan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai memaklumkan, perkara tersebut diberitahu oleh Menteri Perundangan UAE, Sultan Saeed Al Badi kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu sesi perbincangan di Jumeirah, Dubai hari ini.

“Tujuan Anifah berjumpa Menteri Perundangan UAE adalah untuk memohon bantuan dan kerjasama kerajaan UAE dalam menyelesaikan segera isu berkaitan penahanan Richard.

“Semasa sesi perbincangan berkenaan, Menteri Perundangan UAE telah memaklumkan bahawa kerajaannya akan membantu menyelesaikan kes berkenaan yang berlarutan selama 10 bulan mengikut lunas undang-undang UAE,” jelas kenyataan tersebut di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, Anifah turut melahirkan penghargaan di atas komitmen dan kesediaan kerajaan UAE membantu menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.

Selain itu, kata Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Anifah juga dijangka melakukan lawatan konsular ke atas Richard di Penjara Pusat Ras Al Khaimah pada 14 Februari ini.

Pertemuan tersebut katanya, akan diaturkan oleh kedua-dua Kementerian Luar serta Kementerian Perundangan UAE.

“Pada ketika ini, kes tahanan reman Richard masih lagi berlanjutan sejak 27 April 2017.

“Siasatan sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan difahamkan pihak pendakwa raya sedang mengumpul bukti-bukti transaksi di dalam akaun milik Richard,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×