PERMATANG PAUH 12 Feb. – Pihak Konsulat Indonesia di Pulau Pinang masih mengesan keluarga pembantu rumah yang mati dipercayai akibat didera oleh majikannya di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam di sini semalam.
![]() |
|
NENI KURNIATI
|
Wakilnya, Neni Kurniati berkata, berdasarkan alamat yang diperoleh pada pasport mangsa, Adelina Lisao, 26, dipercayai berasal dari Nusa Tenggara Timur namun gagal mengesan rumah keluarganya.
Menurutnya, mayat wanita malang itu akan dibawa pulang ke kampung halamannya selepas semua urusan bedah siasat serta dokumentasi oleh pihak polis dan hospital selesai.
“Kami masih mencari alamat tepat keluarganya di Indonesia dan berdasarkan pasport, dia berasal dari Nusa Tenggara Timur. Kami masih belum berjaya memaklumkan kejadian itu kepada mereka.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, mangsa sebelum ini pernah datang ke Malaysia dan dipercayai bekerja dengan majikannya itu sejak Disember 2014,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini hari ini.
Tambah Neni, pihaknya masih belum mendapat maklumat mengenai kecederaan dialami mangsa dan akan terus berhubung dengan pihak polis Seberang Perai Tengah.
Katanya, mangsa yang datang ke Malaysia melalui ejen sah tidak pernah membuat aduan mengenai kes dera melibatkannya.
Adelina meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam pukul 4.45 petang semalam selepas diselamatkan dalam keadaan cedera parah dari rumah majikannya kelmarin.
Dia yang mengalami lebam pada bahagian kepala dan muka, cedera di lengan dan kedua-dua belah kaki sehingga bernanah dipercayai terkena air panas turut didakwa dibiarkan tidur bersama anjing di luar rumah sejak lebih sebulan lalu selain tidak diberikan makanan mencukupi.
Dia diselamatkan oleh polis selepas menerima laporan daripada orang awam berkenaan nasib menimpa mangsa yang dilihat dibiarkan tidak bermaya di luar sebuah rumah.
Sementara itu, di Putrajaya, Polis Pulau Pinang menyiasat kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat selepas dua adik beradik ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan kes kematian tersebut.
“Kami membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan tertangkapnya dua individu dipercayai majikan mangsa semalam di Pulau Pinang.
“Polis sedang menunggu hasil bedah siasat untuk meneruskan siasatan kematian pembantu rumah warga asing itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.











