KUALA LUMPUR 12 Feb. – Berpantang maut sebelum ajal. Tindakan pantas sekumpulan lelaki berjaya menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak lelaki ketika cuba terjun dari tingkat tiga sebuah pangsapuri di sebuah wilayah di Turki.
Dalam video berdurasi 1 minit 38 saat yang dikongsikan seorang guru, Leyla Ogretman itu, lima orang lelaki dilihat bergegas menunggu di tingkat paling bawah pangsapuri berkenaan sebaik sahaja melihat kanak-kanak itu tersangkut di bahagian tingkap rumahnya.
Salah seorang daripada mereka kemudiannya bertindak mengambil sehelai kain selimut yang disidai di rumah salah seorang jiran di tingkat dua lalu membentangkannya betul-betul di bawah rumah berkenaan.
Video MEDIA SOSIAL
Kanak-kanak tersebut dilihat melepaskan pegangan tangannya dari birai tingkap lalu jatuh betul-betul di atas kain yang terbentang dan dipegang setiap hujungnya oleh kumpulan lelaki berkenaan. Salah seorang daripada mereka kemudiannya dilihat segera mendakap kanak-kanak berkenaan bagi menenangkannya.
Video itu tular di media sosial sejak Sabtu lalu dan mendapat 78,000 reaksi dan dikongsikan lebih 262,000 kali oleh masyarakat dari serata dunia.
Kejadian seperti ini mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak serta memasang jeriji keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. – UTUSAN ONLINE










