PORT DICKSON – Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berusia sembilan tahun, bulan lalu.
Mohammad Abdullah Mohamed, 35, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd. Razak.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripadanya.
Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Abdullah didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Nur Aina Nabihah di sebuah rumah di Taman Vista Jaya di Lukut dekat sini antara pukul 8.30 hingga 11.30 malam, 31 Januari lalu.
Sementara itu, di mahkamah sama hari ini, seorang penganggur, Abdul Malik Rosli, 19, didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Mahussin Abdul Rahim, 28, di tingkat 4, Kuarters Klinik Kesihatan Lukut di sini kira-kira pukul 1.40 pagi, 19 Januari lalu.
Tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya, A. Ashwini mengemukakan pendakwaan ke atas kedua-dua tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 14 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes Mohammad Abdullah manakala Abdul Malik pada 15 Mac depan.
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. K! ONLINE










