Empat sebab tidak perlu bina terowong - Utusan Malaysia

Empat sebab tidak perlu bina terowong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Kementerian Kerja Raya menjelaskan empat sebab tidak perlu membina te­rowong dasar laut di jalan pesisir pantai utara bagi menghubungkan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang di Pulau Pinang.

FADILAH YUSOF
FADILAH YUSOF

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebab pertama adalah pemberian tender sedekad lebih awal iaitu pada 2013 kepada kontraktor bagi melaksanakan projek yang sepatutnya dilakukan pada 2023.

“Adalah sangat luar biasa bagi mana-mana kerajaan untuk memberi tender projek yang hanya akan memulakan pembinaan satu dekad lagi kerana keadaan trafik dan alam sekitar termasuk kegunaan tanah boleh berubah pada masa itu.

“Seterusnya sebab kedua adalah kaedah pembayaran sebidang tanah di kawasan pantai telah ditentukan berdasarkan nilai hari ini. Kemungkinan kerajaan ne­geri membayar lebih daripada kos pembinaan terowong tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di blog dua hari lalu yang menyifatkan pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang hanya membazirkan wang rakyat.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, sebab ketiga adalah kerajaan DAP Pulau Pinang membayar sepenuhnya kepada kontraktor untuk membina tero­wong tersebut de­ngan menggunakan tanah negeri selain memberi tempoh konsesi tol selama 30 tahun kepada kontraktor iaitu kadar sama yang dikenakan di jambatan kedua Pulau Pinang.

Jelasnya, ia berbeza dengan perjanjian-perjanjian konsesi stan­dard lain iaitu syarikat konsesi tol membiayai kos pembinaan lebuh raya atau terowong dan apabila selesai mengutip tol bagi membayar balik pinjaman mereka dan mendapatkan keuntungan.

“Tindakan kerajaan negeri ini hanya memberi manfaat berlipat kali ganda kepada kontraktor meliputi keuntungan pembinaan, potensi tanah yang telah dinilai hari ini dan hasil kutipan tol untuk tempoh 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata, sebab keempat pula adalah ketika kerajaan DAP Pulau Pinang menghantar surat kepada kementerian pada dua tahun lalu bagi meminta kebenaran untuk membina terowong atau jambatan, mereka gagal memberi dokumen sokongan termasuk laporan kos RM305 juta.

“Kami telah meminta dokumen sokongan itu berulang kali kerana kos terlalu tinggi. Ini yang menyebabkan kementerian mempersoalkan keikhlasan kerajaan negeri dalam membina terowong tersebut,” katanya.

Tambah Fadillah, pembinaan projek terowong dasar laut juga akan menyebabkan jalan pesisir pantai Tanjung Bungah dan Te­luk Bahang menjadi lebih sempit sekali gus boleh mengakibatkan kesesakan di kawasan sekitar menjadi lebih teruk.

“Penggunaan jambatan pertama Pulau Pinang dan jambatan kedua masih belum maksimum memandangkan kadar semasa penggunaan masing-masing adalah 87 peratus dan 50 peratus, jadi tiada keperluan yang mendesak untuk membina terowong tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×