KUALA LUMPUR 11 Feb.– Wasiyyah Shoppe Berhad, peneraju di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah di Malaysia, memeterai memorandum persefahaman dengan Koperasi Remisier Bumiputera Berhad pada 8 Februari lalu.
Melalui kerjasama ini , Wasiyyah Shoppe akan memberi latihan secara percuma kepada ahli-ahli Koperasi mengenai ilmu berkaitan pewarisan harta pusaka orang Islam di Malaysia.
Ahli-ahli Koperasi Remisier pula akan mencadangkan kepada pelanggan-pelanggan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe bagi tujuan mewariskan harta pusaka mereka.
Koperasi Remisier melalui kerjasama itu akan mendapat pendapatan apabila memperoleh mudharabah dari apa sahaja nilai bayaran yang dibuat oleh pelanggan kepada Wasiyyah Shoppe.
Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Affendy Nanyan berkata, ramai umat Islam hari ini tercari-cari di organisasi yang boleh menyediakan dokumen mereka serta mendapat perkhidmatan pelaksanaan dokumen-dokumen itu untuk waris mereka.
Katanya, Wasiyyah Shoppe menjangkakan kerjasama dengan Koperasi Remisier yang bersifat menang-menang-menang ini boleh memberi manfaat kepada lebih 200 orang pelanggan bernilai tinggi (high net worth) di dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Pelanggan sedemikian biasanya mempunyai keperluan yang pelbagai kerana aset yang bernilai tinggi dan portfolio aset yang rencam. Wasiat semata-mata tidak mampu memenuhi segala keperluan ini. Kerana itulah Wasiyyah Shoppe menawarkan lebih dari 24 jenis perkhidmatan yang dapat memenuhi segala keperluan,” tambah beliau.
Di dalam majlis ini, Wasiyyah Shoppe diwakili Affendy Nanyan dan Pengarah Eksekutif Azrin Sabirin manakala koperasi diwakili Pengerusi Ahli Lembaga Koperasinya, Zainal Ariffin Osman dan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi, Abdul Karim Mohd. Tahir.











