PARIS – Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Verratti yakin kelabnya sudah bersedia untuk bertandang ke Santiago Bernabeu bagi menghadapi saingan Liga Juara-Juara, Rabu ini.
Barisan pemain pasukan itu sudah bersedia bagi perlawanan tersebut, namun pengurus pasukan, Unai Emery masih belum menyenaraikan kesebelasan utama menentang Real Madrid.
Fokus pasukan kini tertumpu kepada perlawanan Rabu ini dan Verratti yang masuk sebagai pemain gantian ketika PSG menewaskan Toulouse 1-0 pada aksi Ligue 1 awal pagi semalam mengakui sudah bersedia untuk menyahut cabaran tersebut.
“Saya fikir kami sudah bersedia menentang kelab gergasi La Liga itu dan ia merupakan perlawanan yang penting.
“Perlawanan tersebut memberikan makna yang besar buat peminat dan kami akan melakukan yang terbaik buat mereka serta memerlukan fokus yang lebih.
“Saya percaya Real akan melakukan yang terbaik untuk perlawanan tersebut dan memiliki kelebihan mempunyai ramai pemain yang bagus. Bagaimanapun, kami yakin dengan gandingan Kylian Mbappe dan Neymar untuk PSG,” kata Verratti.
Verratti dijangka disenaraikan untuk kesebelasan utama PSG tetapi timbul persoalan pemain yang akan bergandingan dengannya untuk bermain di posisi tengah.
Thiago Motta kembali beraksi setelah pulih daripada kecederaan ketika mencipta kemenangan menentang Rennes dan tewas kepada Sochaux tetapi tidak diturunkan dalam skuad ketika berhadapan Toulouse.
“Saya tahu semua pemain ingin mengetahui siapa yang akan dipilih untuk perlawanan Liga Juara-Juara, apa yang paling penting adalah kemenangan Rabu ini.
“Kami akan melakukan persediaan yang rapi untuk baki tiga hari sahaja lagi dan tidak akan melakukan sebarang keputusan dengan tergesa-gesa,” ujarnya. – Agensi










