Dua beradik maut ditetak di majlis hari jadi - Utusan Malaysia

Dua beradik maut ditetak di majlis hari jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Polis menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan dua beradik ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi di perkarangan Blok B Flat Damansara Bistari, Seksyen 19, dekat sini hari ini.

Kesemua suspek berusia lingkungan 30-an yang ditahan kebanyakannya adalah tetamu majlis tersebut termasuk penganjur majlis dan akan direman esok mengikut keperluan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, lelaki berusia 44 tahun dan adiknya berusia 36 tahun maut akibat ditetak selepas berlaku perselisihan faham dengan suspek yang dipercayai merupakan tetamu dalam majlis sama.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian kebanyakan tetamu dalam keadaan mabuk dan pihaknya masih mencari punca sebenar berlakunya pertengkaran sehingga menjurus kepada kematian dua beradik itu.

“Kedua-dua mangsa dipercayai diserang dengan parang dan senjata digunakan untuk menyerang mangsa turut ditemukan di lokasi kejadian.

“Setakat ini, kita percaya kejadian berlaku akibat salah faham antara kedua-dua mangsa dengan kumpulan motosikal yang membuat bising di khemah terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×