SHAH ALAM – Kira-kira 414,808 pengguna di empat lebuh raya di bawah kendalian Kumpulan Syarikat Prolintas akan menikmati diskaun tol antara 10 sen hingga 20 sen sempena sambutan Tahun Baru Cina minggu hadapan.
Empat lebuh raya terbabit adalah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Kajang Silk (Silk).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pemberian diskaun tol terbabit akan bermula dari pukul 8 pagi sehingga pukul 8 malam pada 16 Februari ini.
Beliau berkata, diskaun tersebut akan dinikmati oleh semua pengguna kenderaan kelas satu di keempat-empat lebuh raya berkenaan.
“Bagi pengguna AKLEH mereka akan menikmati diskaun 20 sen ketika melalui Plaza Tol Datuk Keramat. Begitu juga dengan pengguna lebuh raya GCE, mereka menikmati kadar penjimatan yang sama ketika melalui Plaza Tol Bukit Jelutong, Elmina dan Lagong.
“Berbeza dengan pengguna di lebuh raya LKSA, apabila mereka akan menikmati pengurangan sebanyak 10 sen ketika melalui Plaza Tol Seri Muda dan Alam Impian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Mohammad Azlan, diskaun sebanyak 10 sen itu juga turut dinikmati oleh pengguna lebuh raya Silk ketika mereka melalui keempat-empat plaza tolnya iaitu Sungai Balak, Sungai Ramal, Bukit Kajang dan Sungai Long.
Beliau berkata, tawaran diskaun ini diharap dapat meringankan beban perbelanjaan yang ditanggung pengguna lebuh raya, terutamanya bagi yang meraikan sambutan Tahun Baru Cina. – K! ONLINE










