SHAH ALAM 10 Feb. – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) terbukti berada dalam kelas tersendiri dan memenuhi hampir segenap aspek keperluan industri apabila kebolehpasaran graduannya mencatatkan hampir 100 peratus.
Ketika ini, institusi tersebut mencatatkan nilai kebolehpasaran graduannya sebanyak 98.7 peratus dan semenjak ditubuhkan pada 1997, PSA sudah melahirkan seramai 34,772 graduan.
Pengarah PSA, Tajuddin Abdul Rashid berkata, pencapaian itu adalah sesuatu yang membanggakan kerana ia merupakan peratusan tertinggi bukan sahaja dalam kalangan politeknik tetapi juga melebihi universiti awam mahupun swasta.
“Ini menunjukkan produk politeknik, khususnya graduan PSA adalah berkualiti serta relevan dengan industri,” katanya ketika berucap pada Konvokesyen Ke-20 politeknik berkenaan di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmi dan disempurnakan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 888 graduan terdiri daripada lulusan ijazah, diploma dan sijil membabitkan Jabatan Kejuruteraan Awam; Jabatan Kejuruteraan Elektrik; Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan berjaya menamatkan pengajian.
Sementara itu, Othman dalam ucapannya berkata, pihak politeknik dan para graduan perlu mempersiapkan diri untuk menempuh cabaran masa depan dengan mengambil kira perkembangan terbaharu teknologi masa kini dalam Revolusi Industri 4.0.
“Saya percaya pihak PSA telah menyusun berbagai aktiviti yang boleh menjadikan para pelajar sebagai individu berilmu dan juga selaku warganegara yang bertanggungjawab, selain memenuhi keperluan sektor awam dan swasta
“Bagi tujuan ini, pihak politeknik harus mengambil langkah positif untuk sentiasa menyemak dan menambah baik kurikulum yang digunakan agar sejajar dengan keperluan serta perkembangan industri masa kini,” katanya.










