MELAKA 10 Feb. – Seorang ibu kepada empat anak mendakwa dirinya dijadikan ‘kambing hitam’ oleh seorang individu bergelar Datuk Seri apabila dilantik sebagai pengarah pemasaran bagi syarikat skim pelaburan yang melibatkan kerugian kira-kira RM2.4 juta.
Dipercayai, VVIP terbabit yang juga suami kepada seorang penyanyi terkenal pada era 1990-an itu dikatakan sudah memperdaya seramai 153 orang pendeposit malah ada dalam kalangan mereka melabur sehingga mencecah RM100,000 demi mendapatkan keuntungan berganda.
Mangsa, Nurul Hazwani Shuib, 31, yang dilantik sebagai orang tengah dalam skim pelaburan tidak wujud itu turut melabur lebih RM200,000 kerana terpedaya dengan janji manis untuk memperoleh keuntungan sehingga 35 peratus daripada pelaburan itu yang kononnya dijalankan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Menurutnya, dia mula mencurigai skim berkenaan setelah sejumlah besar pelabur mengadu mereka gagal memperoleh keuntungan yang dijanjikan, malah sebahagiannya menerima cek ‘tendang’.
“Ketika bertanya VVIP itu mengenai hal tersebut, pelbagai alasan diberikan sehingga nombor telefon saya disekat menyebabkan saya sukar menghubunginya.
“Disebabkan masalah itu saya terpaksa menanggung malu untuk berhadapan dengan masyarakat hingga perniagaan yang diusahakan secara dalam talian sebagai pendapatan utama saya turut terjejas angkara masalah itu,” katanya ketika mengadu masalah dihadapi di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka di sini, hari ini.
Menurut Nurul Hazwani, hubungannya dengan saudara mara dan rakan-rakan yang terlibat dengan skim pelaburan itu mula menjadi renggang selain terpaksa berdepan pelbagai tindakan undang-undang.
“Apa yang saya dan semua pelabur harapkan agar Datuk Seri terbabit dibawa ke muka pengadilan dan mendapat hukuman setimpal,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya telah menyediakan khidmat guaman bagi membuat tuntutan sivil untuk menuntut jumlah wang yang sudah dilaburkan.
“Kepada masyarakat di luar, kami menasihati supaya tidak mudah terpedaya dengan skim penipuan sebegini sehingga membawa kerugian yang besar,” katanya.










