LUMUT – Perak gagal memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila tewas kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 0-2 dalam perlawanan ketiga saingan Liga Super di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini sebentar tadi.
Gol PKNS FC hadir seawal minit pertama apabila penyerang importnya dari Brazil, Rafael Ramazotti De Quadros mudah memanfaatkan peluang menyudahkan bola masuk ke gawang gol menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim.
Gol tersebut berpunca daripada rembatan kencang pemain PKNS FC, Romel Oswaldo Morales Ramirez yang terkena palang sebelum melantun di hadapan Rafael Ramazotti.
Dalam separuh masa pertama itu, permainan banyak dikuasai Perak namun beberapa percubaan daripada kedua-dua pasukan gagal menghasillan gol.
Anak buah kendalian K. Rajagobal sekali lagi mengejutkan The Bos Gaurus apabila Rafael Ramazotti menggunakan kelebihan ketinggiannya 1.93 meter dengan menanduk bola ke gawang Perak hasil hantaran sepakan percuma diambil Mahalli Jasuli pada minit ke-62.
Keputusan 0-2 tersebut kekal sehingga ke minit akhir perlawanan.
Pasukan tuan rumah terpaksa bermain tanpa penyokong pada perlawanan malam ini apabila dihukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas gagal mengawal keselamatan penyokong pada perlawanan Perak menentang Johor Darul Ta’zim dalam saingan Piala Malaysia peringkat separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh pada 15 Oktober tahun lalu. – K! ONLINE










