CHERAS -Seorang wanita warga tempatan yang hamil kira-kira tujuh bulan berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbakar secara tiba-tiba di Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Taman Midah di sini.
Dalam kejadian kira-kira 1.40 petang itu, mangsa yang dalam perjalanan dari Taman Midah menghala ke Pusat Bandar bersama seorang anak perempuannya berusia dalam lingkungan 12 tahun sempat berhenti dan keluar dari keretanya jenis Mercedes Benz CLK.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Pegawai Bomba Masri Jamaludin berkata, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.
“Mangsa yang berusia 36 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Sementara kereta mangsa pula terbakar hampir 80 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE










