GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa, alat permainan kejutan elektrik berbentuk gula-gula getah yang berada di pasaran kini mampu memberi kesan pada sistem saraf manusia khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang pengadu iaitu waris kepada seorang murid di sebuah sekolah di Bayan Baru mengenai produk mainan yang dibeli anak lelakinya itu tiga minggu lalu.
Katanya, tinjauan dijalankan CAP mendapati, alat yang menggunakan kuasa bateri itu dijual pada harga RM6 di beberapa kedai runcit sekitar kawasan Bayan Baru, premis cenderamata dan gerai yang beroperasi di tepi jalan Persiaran Gurney, di sini.
“Bentuknya seakan-akan satu jenama gula-gula getah yang berada di pasaran dan lengkap dengan maklumat kandungan serta ramuannya.
“Kita mendapati, apabila seseorang itu menarik satu kepingan gula-gula getah, ia akan mencetuskan suis yang menghantar cas elektrik melalui tangan seseorang sehingga berlakunya kejutan elektrik,” katanya ketika ditemui di Pejabat CAP di sini semalam.










