SHAH ALAM 9 Feb. – Syarat kerajaan PKR Selangor yang menetapkan pihak pemaju supaya membina Rumah Selangorku terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang perumahan harga bebas dianggap satu pembohongan dan sengaja dicipta bagi menutup kegagalan menyediakan rumah mampu milik yang dijanjikan kepada rakyat negeri ini.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, pada masa sama, alasan kononnya pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai penyebab tindakan pembatalan dibuat juga sangat naif dan boleh dipersoalkan.
Menurutnya, pembatalan projek itu yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad juga amat meragukan kerana kerajaan negeri sendiri didakwa bukan sahaja tidak mematuhi malah tidak melaksanakan syarat tersebut sebelum ini.
“Iskandar berbohong apabila menyatakan di bawah pentadbiran kerajaan negeri sekarang, pemaju tidak boleh membina Rumah Selangorku paling akhir, tetapi perlu dibina terlebih dahulu atau serentak dengan projek perumahan harga biasa.
“Sila tunjukkan di lokasi manakah Rumah Selangorku bina dahulu sebelum kategori perumahan harga biasa di negeri ini?” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Johan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih turut membidas kerajaan negeri termasuk PBT yang seakan-akan mengamalkan sikap berpilih dalam melaksanakan projek berkepentingan rakyat di Selangor.
Selain itu jelasnya, Iskandar juga tidak perlu menuding jari kepada pihak lain berikutan kegagalan melaksanakan projek Rumah Selangorku kerana kelulusan Kebenaran Merancang itu di bawah kuasa PBT yang terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri sendiri.
“Sepatutnya Iskandar perlu meneliti isu Rumah Selangorku membabitkan amalan serta pengurusan PBT yang tidak seragam, bukan menyalahkan pihak pemaju semata-mata.
“Selain itu, kerajaan negeri juga tidak menyediakan subsidi kepada pemaju tetapi menetapkan syarat supaya mereka membina sekurang-kurangnya 50 peratus perumahan mampu milik di bawah skim itu daripada jumlah keseluruhan unit sesebuah projek,” ujarnya.










