SHAH ALAM 8 Feb. – Rakyat negeri ini sekali lagi terpaksa berputih mata dan menjadi mangsa tindakan Kerajaan PKR Selangor setelah sembilan projek pembinaan Rumah Selangorku di enam kawasan majlis perbandaran dibatalkan Selasa lalu.
![]() |
|
NAZILAH IDRIS
|
Bukan sahaja harapan mereka untuk memiliki kediaman sendiri musnah tetapi apa yang lebih malang lagi, ada dalam kalangan pemohon sudah mengemukakan permohonan dan membuat pinjaman bank, namun kesudahannya bukan rumah diperoleh, sebaliknya beban hutang yang menghantui.
Meskipun Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad menyatakan kononnya tindakan pembatalan projek disebabkan kegagalan pemaju, persoalannya apakah sudah tiada alternatif lain untuk menyelamatkan keadaan.
Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Nazilah Idris berkata, kenyataan Iskandar itu tidak lebih sekadar alasan menuding jari mencari kesalahan pihak lain, sedangkan yang menjadi mangsa kepada tindakan tersebut adalah rakyat, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
“Kesan daripada pembatalan ini pastinya melibatkan ribuan pemohon yang saya percaya ramai dalam kalangan mereka sudah membuat pinjaman bank tetapi akhirnya rumah tiada. Siapa yang hendak tanggung hutang ini? Mereka yang beli Rumah Selangorku ini pula bukan orang kaya.
“Tidakkah ini satu penganiayaan? Kalau benar pemaju bermasalah kenapa tindakan tidak hanya diambil ke atas pemaju tanpa perlu membatalkan projek Rumah Selangorku dan kenapa hanya di zaman Pakatan Harapan isu sebegini timbul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Iskandar mengumumkan sembilan projek Rumah Selangorku dibatalkan dengan memberi alasan pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan yang diberikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Nazilah menambah, pembatalan Rumah Selangorku dilihat sebagai kemuncak kepada pelbagai masalah yang melingkari skim rumah tersebut yang telah beberapa kali didedahkan pihaknya sebelum ini tetapi berulang kali dinafikan Kerajaan PKR Selangor.











