KUALA LUMPUR 7 Feb. – ‘Tiada padang, tiada masalah’ bagi Selangor berterusan dengan menyaksikan mereka menang selesa 4-1 ke atas Melaka United dalam perlawanan kedua Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam tadi.
Keempat-empat gol Red Giants disumbang oleh Rufino Segovia pada minit kesembilan dan ke-67, serta Syahmi Safari (m-54, m-90), manakala gol sagu hati Sang Kancil menerusi Tiago Gomes (m-31).
Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan skuad yang dihimpit masalah ketiadaan gelanggang sendiri itu kekal menerajui Liga Super, dengan kelebihan jaringan ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah masing-masing mengumpul enam mata.
Sementara itu, saingan di Stadium Darul Aman menyaksikan Perak memanfaatkan sepenuhnya kelebihan seorang pemain pada ketika saingan berbaki 10 minit untuk menundukkan tuan rumah Kedah 3-1.
Kedua-dua pasukan mulanya terikat 1-1 dalam tempoh 80 minit perlawanan setelah Gilmar Jose Da Silva membuka jaringan untuk Perak pada minit ke-21 sebelum Sandro Da Silva menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 12 minit.
Namun Perak mendapat kelebihan selepas Liridon Krasniqi diarah meninggalkan padang pada minit ke-81 dan The Bos Gaurus menggandakan jaringan menerusi Nazrin Nawi pada minit ke-86 dan Nazirul Naim Che Hashim pada minit terakhir perlawanan.
Dalam pada itu, bekas penyerang sensasi negara Safee Sali muncul wira PKNS setelah meledak gol pada penghujung perlawanan untuk menewaskan Pahang 1-0 di Stadium Shah Alam.
Negeri Sembilan pula mengubati kekalahan kepada PKNP FC dalam aksi pembukaan Sabtu lalu apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, dengan dua gol tersebut dijaringkan oleh Nicolas Velez.










