Mampukah Anwar satukan PKR?

Mampukah Anwar satukan PKR?

ANWAR Ibrahim mengadakan perbincangan agenda memperkukuhkan PKR dengan Rafizi Ramli (kanan) sambil ditemani Nurul Izzah (kiri) pada 28 Jun lalu. – FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM telah diadakan secara serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat serta Kongres Wanita Keadilan Pusat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor. Hari ini dan esok pula berlangsung Kongres Nasional PKR Ke-16 di tempat sama yang dihadiri kira-kira 2,700 perwakilan.

Kongres tiga hari itu menjadi tumpuan ketika pelbagai aduan salah laku dibuat semasa pengundian awal secara dalam talian yang menyaksikan berlaku kucar-kacir dengan beberapa perubahan keputusan pada saat akhir sehingga terpaksa diadakan audit forensik dalaman.

Untuk memberi masa secukupnya kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR dan firma audit forensik menyelesaikan siasatan aduan yang diterima, maka jadual asal Kongres Wanita dan AMK pada 24 Jun dan Kongres Nasional pada 25 dan 26 Jun telah diubah.

Bolehkah PKR kembali bersatu setelah terdapat dakwaan wujud dua kem iaitu yang bersama dengan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan calon kalah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dikatakan penyokong Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang tanpa bertanding?

Pada masa sama, terdapat seruan supaya agenda memperkukuhkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) diberikan tumpuan utama pada kongres itu bagi membolehkan parti berkenaan benar-benar bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menjelang kongres itu, beberapa penganalisis politik telah meluahkan kebimbangan kemungkinan berulang krisis perpecahan seperti pada 2018 yang berpunca daripada pertembungan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden parti.

Kemuncak kepada episod itu berlakulah ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 apabila Mohamed Azmin dan 10 ahli Parlimen PKR yang menyokongnya keluar parti dan menyertai Perikatan Nasional (PN) sehingga kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Kemungkinan itu mungkin tipis jika dilihat Anwar sudah mengadakan pertemuan dengan Rafizi bagi membincangkan agenda memperkukuhkan parti.

Sejurus Rafizi diumumkan menang, Anwar juga telah memberikan respons dengan menyatakan barisan kepimpinan baharu sesi 2022-2025 hasil pemilihan baru-baru ini memberi mesej positif dan jelas bahawa parti itu perlu lonjakan baharu bagi membawa perubahan yang lebih baik.

Menurut Anwar, perubahan yang dibawa itu perlukan dukungan yang kuat daripada rakyat dan tidak tersasar daripada prinsip reformasi.

Saifuddin sendiri ketika ditemu bual oleh saya pada April lalu memberi jaminan tidak akan meninggalkan PKR sekiranya kalah dalam pemilihan merebut jawatan Timbalan Presiden parti yang telah disahkan milik Rafizi dengan majoriti 16,668 undi.

Beliau yang menyertai PKR seawal kelahiran parti itu pada 1999 dan menjadi Setiausaha Agung sejak 2010 iaitu hampir 12 tahun atau separuh daripada usia PKR selama 23 tahun, turut menasihati saya supaya tidak mudah percaya ramalan penganalisis politik yang disifatnya kebanyakan tidak betul.

KHEMAH BESAR

Saifuddin berkata, beliau akan menghormati apa sahaja keputusan pemilihan parti. “Jika tidak terpilih, saya tidak akan berundur, apatah lagi mengisi borang cuti, sebab saya tidak ada pilihan lain. Saya tiada empayar perniagaan. Saya cuma ada parti politik iaitu PKR. Saya tiada parti lain,” katanya.

 

Hubungan baik Saifuddin dan Rafizi bermula sejak beliau menjawat jawatan Timbalan Ketua AMK pada 2000 dan Rafizi ketika itu ialah Exco AMK.

Sewaktu beliau menjadi Ahli Parlimen Machang, banyak input perbahasan dalam Parlimen disediakan oleh Rafizi dan kerana persahabatan erat itu wujud ungkapan suatu ketika dahulu, “Di mana ada Saifuddin, di situ ada Rafizi.” Sebab itu, ketika Rafizi melawan Mohamed Azmin pada pemilihan 2018, Saifuddin menyatakan sokongan terbuka kepada Rafizi.

Bagaimanapun, sekiranya benar akan berlaku perpecahan dalaman, sudah pasti bakal menjejaskan tumpuan parti itu meraih sokongan pengundi pada PRU15. Tambahan pula kumpulan Rafizi yang menang dilihat lebih cenderung untuk menolak gagasan khemah besar yang diperjuangkan Anwar dan Saifuddin.

Khemah besar membawa maksud penyatuan semua parti pembangkang dengan matlamat utama mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan PN dalam PRU15. Ini bermakna kumpulan Rafizi mahu PKR bergerak secara solo bagi meraih sokongan pengundi.

Beberapa hari sebelum kongres bermula, Rafizi dalam ciapan Twitter menamakan 26 calon pilihannya bagi merebut jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Calon MPP berkenaan diperkenalkan Rafizi sebagai individu yang secara jelas menolak konsep khemah besar dan tidak pernah bersekongkol dengan individu atau kumpulan yang telah mengkhianati parti atau membawa budaya bodek atau samseng.

Pemilihan MPP PKR berlangsung hari ini dengan 20 kekosongan jawatan manakala pengundian pemilihan Ahli Majlis Pimpinan Wanita dan AMK dibuat semalam dengan masing-masing 20 jawatan.

Sebelum ini, ketika bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden, Rafizi menamakan pasukannya yang kebanyakan menang termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang bertanding jawatan Naib Presiden bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang dikatakan dalam pasukan Saifuddin menjadi satu-satunya dari kumpulan itu disenaraikan pemenang jawatan Naib Presiden.

Bagaimanapun, wujud keseimbangan dalam PKR dengan Ketua Pemudanya, Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Wanita, Fadhlina Sidek adalah dari kem Saifuddin.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang juga penyokong kuat Rafizi tidak bertanding dalam pemilihan kali ini. Beliau mahu menumpukan usaha menarik sokongan pengundi atas pagar menjelang PRU15 menerusi kempen Ayuh Malaysia yang sebelum ini dilancarkan oleh Rafizi.

Persoalan mampukah Anwar menyatukan PKR hanya dapat dinilai daripada ucapan dasar beliau hari ini dan langkah-langkah susulan yang akan dibuatnya selepas kongres.
Bolehkah Anwar menamatkan badi kekalahan dalam pilihan raya negeri di Sarawak, Melaka, Johor dan kegagalannya untuk menjadi Perdana Menteri? Sama-sama kita tunggu dan lihat. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×