LAUNGAN takbir pada subuh hari Arafah menggamit nostalgia beraya bersama keluarga. Ketika sama-sama bertakbir di pagi Aidiladha, hati terasa sayu tatkala terbayang saya bakal beraya tanpa keluarga tercinta. Inilah kali pertama saya menyambut hari raya di perantauan, jauh daripada ibu dan kakak.
Bagi kami yang beraya di kampus, inilah kampung buat masa ini.
Esoknya, saya menunaikan solat subuh dan solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid kampus. Usai solat, saya beriktikaf menunggu mulanya takbir raya. Seorang rakan yang menjadi petugas masjid memberikan saya mikrofon untuk bertakbir bersama-sama. Sambil bertakbir, wajah ibu terbayang di mata. Walau jauh di mata, namun ibu sentiasa dekat di hati saya.
Pelbagai doa saya kirimkan buat pengganti diri. Bagi mengubat rindu, saya membuat panggilan video kepada keluarga untuk memohon ampun dan bertanya khabar.
Berhari raya tanpa keluarga terasa sepi dan sunyi. Inilah hakikat yang terpaksa kami hadapi. Kali ini, rakan-rakanlah keluarga saya. Selama ini tidak pernah terfikir bahawa saya akan berhadapan dengan keadaan sebegini. Bagi kebanyakan kami, inilah kali pertama beraya di perantauan berjauhan daripada keluarga.
Maka usai solat dan khutbah hari raya, bermulalah pengalaman kami beraya dalam suasana baharu. Sambutan dimulai dengan jamuan oleh pihak universiti sebelum kami beraya bersama rakan taulan. Menariknya, masing-masing menyambut hari raya dengan cara tersendiri. Terasa lega apabila dapat merehatkan diri buat seketika sebelum kembali berjuang dalam peperiksaan.
GAYA
Saya dan sebahagian rakan-rakan sepakat bergambar beramai-ramai di sekitar kawasan kampus. Bermacam-macam gaya kami abadikan di pelbagai tempat sebagai kenangan. Apatah lagi, tidak semua daripada kami akan menyambung pelajaran peringkat ijazah di kampus Gombak. Ada juga yang bakal belajar di kampus Pagoh dan selebihnya ke Kuantan.
Sebelah petangnya ada yang mengulang kaji pelajaran dan membuat latih tubi bersama-sama sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Ramai juga yang memanfaatkan hari cuti dengan melakukan aktiviti di luar kampus bagi merehatkan minda buat seketika. Ada yang beriadah di pantai, manakala ada ke pawagam menonton filem Mat Kilau. Tidak kurang juga yang beraya ke rumah saudara-mara dan rakan taulan di sekitar daerah ini.
Ibadah korban di kampus disempurnakan pada hari Rabu. Alhamdulillah, walaupun beraya di perantauan, kami masih merasai kemeriahan ibadah korban dan kemudiannya bersama-sama menikmati hidangan daging korban di masjid. Kawan-kawan yang beraya di kampung pula kembali ke kampus membawa juadah lazat serta buah-buahan buat kami.
Walaupun merindui keluarga, namun pengalaman ini amat berharga buat saya. Ia mengajar kami erti pengorbanan serta manisnya ikatan ukhuwah dalam persahabatan. Semoga persahabatan kami kekal utuh dan membentuk kami menjadi generasi yang bersatu padu serta ikhlas membela nasib agama, bangsa dan tanah air. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











