Jangan biarkan cerita rakyat terkubur

Jangan biarkan cerita rakyat terkubur

CERITA rakyat yang disampaikan oleh Awang Batil (penglipur lara) mampu meninggalkan kesan magis kepada pendengar. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI orang ramai yang membesar pada 1960-an, 1970-an dan awal 1980-an, tentu ada pengalaman mendengar cerita rakyat daripada orang tua, khususnya datuk atau nenek. Apabila sudah memasuki alam persekolahan dan pandai membaca, biasanya pelbagai buku cerita rakyat, hikayat dan epik menjadi pilihan untuk mengembangkan daya imaginasi sambil berhibur dengan kisah-kisah dongeng.

Dalam tradisi Nusantara, memang ada banyak cerita rakyat dan cerita binatang yang turut diperkenalkan melalui buku teks sekolah. Langkah ini amat baik dan perlu bagi memastikan generasi sekarang tetap mengenali dan menghayati pelbagai kisah dan mesej positif yang terkandung dalam kisah-kisah berkenaan.

Baru-baru ini, saya berbual dengan beberapa rakan kaum India secara khusus tentang cerita rakyat India. Kami cuba memikirkan sama ada kisah dongeng dalam tradisi kaum India sejak turun-temurun masih diketahui dan dihayati generasi muda. Topik ini amat wajar kerana tidak semua orang India pergi ke sekolah Tamil di mana kisah-kisah dongeng India disampaikan secara langsung atau tidak langsung oleh guru.

Walaupun sekitar 55 peratus kanak-kanak kaum India di Malaysia pergi ke sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), baki masih memilih sekolah kebangsaan. Maka, persoalan sama ada generasi muda kaum India masih berpeluang mengetahui cerita rakyat India memang relevan dan wajar dibincangkan. Malah, persoalan sama tentu sahaja terpakai bagi semua etnik minoriti di negara ini dalam usaha mengekalkan identiti, budaya dan jati diri masing-masing.

Perlu diakui dalam situasi sekarang, ibu bapa sibuk dengan kerja. Anak-anak pula lebih mesra dengan gajet dan peranti sekali gus kurang interaksi dengan datuk dan nenek. Warga emas pula mungkin makan hati kerana tidak berpeluang berkongsi cerita rakyat dengan cucu. Pada masa sama, cerita rakyat mungkin dianggap generasi muda sebagai ketinggalan zaman.

Dalam hal ini, penulis veteran, M. Mahendran dari Bentong, Pahang berpandangan, cerita rakyat masih mempunyai daya tarikan tersendiri dan mesej yang terkandung bersifat sejagat serta malar (evergreen).

“Segala cerita rakyat yang disampaikan secara lisan atau dibukukan mengandungi mesej positif dan teladan yang masih relevan pada hari ini. Maka saya amat berharap generasi tua seperti datuk, nenek dan ibu bapa meneruskan tradisi menyampaikan cerita rakyat kepada anak-anak.

“Generasi muda kaum India juga perlu digalakkan membaca buku cerita rakyat supaya kenal tradisi, sejarah dan kekayaan budaya pemikiran generasi lama,” kata beliau yang aktif menghasilkan karya bahasa kebangsaan dan Tamil sejak 1980-an.

Pandangan ini membawa pula kepada persoalan sama ada terdapat bahan bacaan seumpama itu dalam bahasa kebangsaan. Biasanya cerita rakyat India mudah ditemui dalam bahasa Tamil. Buku-buku seperti itu dalam bahasa Inggeris juga banyak diterbitkan di India dan mudah diimport ke negara kita.

KRITIKAL

Sesekali ada penerbit tempatan menyelitkan cerita rakyat India atau China dalam buku mereka. Kisah epik Ramayana dan Mahabharata memang sudah tersebar luas. Selain daripada itu, ada banyak lagi cerita rakyat India yang menarik dan wajar diketahui generasi muda.

Menerusi rencana Panchatantra, Kisah Binatang dan Manusia dalam buku Suvarna Bhumi (2022), saya menyentuh tentang Hikayat Panca Tanderan (1835) yang diterjemah oleh Munsyi Abdullah. Kisah-kisah dalam buku itu mungkin tidak lagi menarik minat generasi muda walaupun mesej dan pengajaran yang terkandung di dalamnya tetap relevan pada masa kini.

Kumpulan cerita rakyat India berjudul Munis Dengan Harimau (1996) yang saya hasilkan sudah tiada dalam pasaran. Buku Nari! Nari! (1995) pula saya terbitkan semula pada 2015 tetapi juga sudah kehabisan stok. Tidak mustahil, perpustakaan sudah melupuskan kedua-dua judul sebagai stok lama. Selain buku-buku itu, setahu saya tidak ada penulis lain berusaha menyajikan cerita rakyat India dalam bahasa kebangsaan.

Dalam situasi kritikal ini, generasi lama memang amat bertuah kerana berpeluang mendengar pelbagai cerita rakyat daripada datuk atau nenek. Hal ini turut diakui Bawani Govindaraju dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Katanya, cerita rakyat India dengan mesej tersurat dan tersirat yang disampaikan oleh bapanya masih segar dalam ingatan.

“Semua jenis cerita rakyat ada mesej dan moral yang sangat berguna sebagai pedoman hidup manusia. Maka, kita tidak patut memperlekeh atau menganggapnya ketinggalan zaman. Saya rasa, cerita rakyat semakin penting dalam usaha menangani masalah sosial yang semakin ketara dalam kalangan remaja kaum India.

“Sama ada mereka mendengar atau membaca sendiri cerita-cerita itu, sedikit sebanyak boleh membantu membimbing ke jalan yang benar,” guru subjek Bahasa Inggeris itu menghuraikan dengan optimistik.

Sesungguhnya, cerita dan amalan bercerita mempunyai kuasa untuk meninggalkan kesan mendalam pada jiwa dan minda pembaca atau pendengar. Perkara ini memang nyata apabila kita mengkaji tradisi bercerita dalam budaya masyarakat majmuk di negara ini. Sama ada cerita disampaikan oleh seorang nenek tidak berpelajaran atau oleh Tok Selampit dan Awang Batil yang profesional, kesan magis kepada pendengar memang amat mengkagumkan. Tradisi itulah yang amat perlu diteruskan.

“Saya banyak membaca cerita rakyat India semasa kecil. Setiap kali cuti sekolah, saya ke rumah nenek dan ada koleksi buku-buku itu di sana. Datuk dan nenek juga selalu bercerita. Selain terhibur, saya banyak mendapat pengajaran dan moral yang masih terpakai sehingga kini,” kata seorang lagi guru subjek Bahasa Inggeris, Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor.

Pada penelitiannya, generasi sekarang kurang terdedah kepada cerita dongeng termasuk cerita rakyat India.

“Cerita-cerita ini masih relevan kerana mengetengahkan pelbagai unsur kemanusiaan dan nilai-nilai murni. Walaupun zaman berubah, mesej dan pengajaran dalam cerita rakyat masih boleh menjadi panduan apabila kita berdepan sebarang masalah atau dilema dalam hidup,” katanya.

Semoga generasi yang pernah membesar dengan mendengar atau membaca cerita rakyat mengambil inisiatif meneruskan tradisi itu dengan bercerita kepada anak cucu. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×