Selepas 109 tahun, relevankah enakmen tanah rizab Melayu?

Selepas 109 tahun, relevankah enakmen tanah rizab Melayu?

DIKATAKAN punca jatuhnya nilai tanah rizab Melayu adalah disebabkan oleh sekatan-sekatan yang wujud dalam Enakmen Rizab Melayu itu sendiri. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNDANG-UNDANG tanah rizab Melayu mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu (ERM) 1913 dikuatkuasakan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. ERM 1913 ini dimansuhkan mula 15 Disember 1933 dan digantikan dengan ERM 1933.

Pada 1935, ERM 1933 disemak dan diterbitkan semula sebagai ERM dan digunakan hingga hari ini. Negeri-negeri lain kemudiannya turut mewujudkan ERM masing-masing iaitu ERM Kelantan 1930, ERM Kedah 1931, ERM Perlis 1935, ERM Johor 1936 dan terakhir ERM Terengganu 1941. British tidak mengadakan apa-apa ERM di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka.

Dikira ERM ini dari asalnya dibuat pada 1913, usianya kini 109 tahun. Yang terbaru ialah ERM Terengganu 1941 bertarikh 8 November 1941, sebulan sebelum Mejar Jeneral Hiroshi Takumi mendarat di pantai Sabak, Kelantan.

Persoalan yang jelas di sini, adakah kewujudan enakmen tanah rizab Melayu ini 44 tahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu merdeka dengan niat untuk menjaga kepentingan orang Melayu atau kepentingan pemerintah British? Adakah British mewujudkan enakmen ini untuk menyerahkan Malaya kembali kepada orang Melayu 44 tahun kemudian atau bercadang untuk terus mengkoloni Semenanjung Tanah Melayu 1,000 tahun lagi?

Tidak dinafikan, kewujudan ERM secara tidak langsung menyelamatkan tanah milik orang Melayu daripada terus terlepas kepada bukan Melayu. Ini kesan sampingan yang positif untuk orang Melayu. Namun, niat utama kolonial British ialah untuk menjaga kepentingan mereka supaya berterusan dapat memerintah dengan selesa di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.

Tiada setitik pun niat mereka untuk membantu memajukan bangsa Melayu.

Malaysian Journal of Real Estate Volume 4 no.2 / 2009: The Prospects and Challengers of Malay Reservation Land in the 21st Century mencatatkan cadangan yang di buat oleh RJB Clayton yang merupakan seorang pegawai daerah (DO) British pada 1910. Dalam satu memorandum, beliau menyatakan, “Only the Malays were likely to form a permanent agricultural population and labour force in the Federated Malay States. Thus, their rights to the land should be protected. If not, it would defeat the main objective of the British policy to create a permanent agricultural population.”

PECAH DAN PERINTAH

Jelas di sini, polisi pemerintah kolonial British adalah untuk menjadikan orang Melayu sebagai masyarakat petani yang kekal. Cadangan mempertahankan hak tanah orang Melayu ialah untuk menjayakan polisi pemerintah British bagi menghasilkan sebuah masyarakat petani kecil dalam memastikan bekalan makanan mencukupi di Semenanjung Tanah Melayu. Polisi sama juga dipraktikkan di India pada ketika itu. Sama juga seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur, statusnya ialah Malay Agriculture Settlement ataupun Penempatan Pertanian Melayu. Tujuan asalnya ialah kebun untuk bekalan makanan di Kuala Lumpur.

Niat pemerintah kolonial British jelas untuk menjaga kepentingan mereka dan mengaut keuntungan hasil bumi Melayu semata-mata. Oleh itu, sebagai salah satu agenda menjayakan polisi pecah dan perintah mereka adalah penting untuk mengekalkan orang Melayu sebagai kelompok masyarakat petani kelas rendah.

Strategi British untuk tidak memberi peluang kemajuan kepada tanah rizab milik orang Melayu sehinggakan tanaman bernilai komersial seperti getah tidak dibenarkan ditanam. Yang dibenarkan hanya menanam padi dan sayuran.

Sekarang 2022, kenapa ERM ini masih kekal? Sedangkan kita semua tahu punca jatuhnya nilai tanah rizab Melayu adalah disebabkan oleh sekatan-sekatan yang wujud dalam ERM itu sendiri.

Setiap tahun kita membaca dan mendengar kenyataan-kenyataan dibuat oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu, merungut tentang menguncupnya dan rendahnya nilai tanah rizab Melayu dalam forum dan seminar berkaitan Melayu. Begitu juga dengan beratus-ratus penulisan, kajian dan pembentangan kertas kerja dibuat berkaitan tanah rizab Melayu. Tapi ke mana sudahnya? Tahun hadapan merungut lagi, tanah rizab Melayu semakin berkurangan.

Secara teknikalnya, Tanah Melayu masih dijajah Inggeris melalui enakmen tanah yang sudah berusia 109 tahun. Kesannya umum tahu, nilai tanah rizab Melayu amat rendah. Mungkin ini adalah perjuangan terakhir orang Melayu untuk membebaskan Tanah Melayu yang masih terikat dengan enakmen ciptaan Inggeris yang tidak menguntungkan, di mana niat asalnya adalah untuk mengekalkan bangsa Melayu sebagai masyarakat pertanian untuk kepentingan Inggeris. Ini adalah satu penghinaan kepada bangsa.

Sebagai sebuah negara merdeka, kita sepatutnya sudah mengubah enakmen ini supaya ia memperkasakan tanah rizab Melayu, Tanah rizab Melayu mesti kekal, tidak boleh dipindah milik atau dijual kepada bukan Melayu, kekal tidak boleh dicagar.

Satu hukuman perlu ada bagi mereka yang bertanggungjawab mengubah status tanah rizab Melayu sehingga terlepas kepada bukan Melayu. Tetapi perlu ada kelonggaran supaya ia boleh dimajukan secara komersial. Para bijak pandai dalam undang-undang tanah, pakar ekonomi mahupun pemaju boleh memberi pandangan cara terbaik untuk mengubah enakmen ke arah memberi manfaat kepada tanah rizab Melayu.

Enakmen hanya boleh dipinda melalui Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika perlu melibatkan Perlembagaan Persekutuan, maka di Parlimen. Jadi, segala perjuangan yang selama ini dilaungkan, segala kertas kerja yang dibentangkan di seminar-seminar untuk menyedarkan dan menarik perhatian mengenai isu tanah rizab Melayu tidak ada penyudahnya kerana laluan terbaik ialah menerusi jalan politik. – UTUSAN

PENULIS ialah Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×