Awas diayah tiga serangkai

Awas diayah tiga serangkai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini tular video selama 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya.

Bagi saya perbuatan itu walaupun apa niatnya tidak harus dipertahankan kerana ia boleh menjolok hati umat Islam dan jika tidak ditangani dengan cermat boleh mencetuskan huru-hara.

Bagaimanapun, kekecohan isu itu adalah kecil jika dibandingkan dengan tindakan pihak tertentu yang secara terancang dan konsisten menghina agama termasuk Islam.

Golongan ini turut menggunakan persembahan seni khususnya filem dan siri televisyen keluaran Hollywood untuk mencucuk ‘jarum halus’ bagi meracuni fikiran umat Islam supaya menerima diayah tiga serangkai.

Diayah itu ialah pertama, mengiktiraf hak-hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Kedua, menyokong langkah menaik taraf manusia menjadi transhuman (separuh manusia dan separuh robot). Transhuman adalah satu gerakan intelektual yang percaya masyarakat global harus menggunakan teknologi dan inovasi saintifik dari segi genetik, nanoteknologi dan robotik (kecerdasan buatan) untuk menambah dan meningkatkan kemampuan manusia dari segi fizikal dan mental.

Walaupun gagasan transhuman dikatakan dapat meningkatkan jangka hayat manusia dan menambah keupayaan setiap individu untuk memperoleh ilmu pengetahuan secara dramatik, ia dikatakan hanyalah helah untuk menjadikan manusia seperti robot.

Ketiga, agenda normalisasi supaya masyarakat menerima teknologi pengklonan manusia atau lebih spesifik rapid cloning (pengklonan pantas).

Sejak saintis di Scotland menghasilkan klon mamalia pertama iaitu biri-biri betina, Dolly pada 1996 menggunakan teknik pemindahan nukleus sel somatik (SCNT), sebanyak 23 spesies mamalia lain berjaya diklon termasuk lembu, kucing, anjing, kuda dan tikus.

Kejayaan ini mengetepikan pendapat bahawa sel mamalia dewasa termasuk manusia tidak boleh digunakan untuk membentuk semula salinan genetik. Bagaimanapun, Dolly hanya hidup selama tujuh tahun, separuh dari usia Dolly yang sepatutnya kerana ahli sains tidak set semula jam biologi pada sel asal yang menyangka ia sudah berusia enam tahun ketika dilahirkan kerana diambil daripada biri-biri induk berusia enam tahun.

Pengalaman pengklonan Dolly membolehkan ahli sains menemui ‘lubuk emas’ iaitu teknik pengklonan pantas. Ia merujuk kepada kaedah pengklonan manusia menggunakan asid deoksiribonukleik (DNA) individu induk untuk menghasilkan individu lain yang sama genetik.

Walaupun dilahirkan sebagai seorang bayi, manusia klon akan mengalami proses penuaan dengan pantas dalam tempoh kira-kira lima bulan sahaja. Proses penuaan itu akan terhenti apabila mencapai usia sama seperti jam biologi pada sel asal.

LANGKAWI

Daripada ketiga-tiga diayah ini, paling agresif dipromosi sekarang ialah LGBT sedangkan Malaysia tidak menerima perkara itu sebagai gaya hidup kerana kita berpegang kepada Islam sebagai agama Persekutuan.

Terbaharu melibatkan filem animasi, Lightyear keluaran Pixar dan Disney yang didapati mempunyai unsur lesbian melalui watak angkasawan wanita, Hawthorne yang mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Pada 2017 pula, kita dikejutkan dengan kenyataan pengarah filem animasi keluaran Disney, Beauty and the Beast yang mengesahkan wujud adegan gay dalam filem tersebut.

Banyak lagi filem yang mempromosi agenda LGBT seperti Toy Story 4 (2019), Star Wars: The Rise of Skywalker (2019), Avengers: Endgame (2019) dan Eternals (2021).

Untuk menghadapi diayah golongan itu, tidak cukup ilmuwan Islam hanya menangkis pandangan bekas profesor sains politik di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS), Samuel Huntington yang terkenal dengan teori pertembungan tamadun antara Islam dan Barat atau bahaya pluralisme agama yang dibawa oleh bekas profesor teologi di Claremont Graduate School California, AS, John Hick.

Teori kedua-kedua profesor ini yang telah pun meninggal dunia sudah tidak relevan sekarang. Sebaliknya, ilmuwan Islam berhadapan dengan bahaya baharu melibatkan diayah tiga serangkai yang dilontarkan oleh beberapa ahli akademik yang sering dijemput membentangkan kertas kerja ketika program tahunan melibatkan para pelobi di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Diayah ini mendapat sambutan dan dilaksanakan oleh peserta WEF yang terdiri daripada bilionair, hartawan dan pemilik syarikat berteknologi tinggi.

Apabila menyentuh tentang diayah tiga serangkai ini, cukup malang sekali artis dari Malaysia turut terpalit sama dalam kontroversi itu walaupun beliau sudah tentu tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian.

Sudah pasti kita masih ingat dialog pelakon dari negara ini, Tan Sri Michelle Yeoh (memegang watak Kapten Philippa Georgiou) dalam siri televisyen sains fiksyen terbitan AS, Star Trek: Discovery dengan seorang pelakon lain yang mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan.

“Kamu tahu saya membesar di Malaysia, Pulau Langkawi, pantai yang cantik itu.”

Siri televisyen selama tiga musim dari 2017 hingga 2020 yang menampilkan Yeoh sebagai antara watak utama sarat dengan adegan LGBT dan transhuman. Bagaimanapun, kelibat Yeoh tidak lagi kelihatan apabila tayangan musim keempat siri itu bermula penghujung tahun lepas.

Bagaimanapun, siri televisyen itu yang diteruskan dengan Star Trek: Picard yang musim kedua baru sahaja berakhir pada Mei lalu, sarat dengan diayah tiga serangkai termasuk pengklonan pantas.

Matlamat diayah tiga serangkai ini adalah untuk merosakkan tubuh manusia supaya jiwa (roh) dalam badan tidak lagi menjadi dominan.

Jika diayah ini berjaya, yang tinggal di dunia ini hanya manusia yang kelakuan sama seperti robot. Mereka tidak mempunyai jiwa dan tidak lagi mempercayai Tuhan. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×