Tahfiz: Zam prejudis - Utusan Malaysia

Tahfiz: Zam prejudis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menolak hujah melampau Tan Sri Zainuddin Maidin mempertahankan syornya agar institusi tahfiz ditutup. Bagi kami, kebanyakan hujah beliau tidak relevan dan tidak berasas.

Sentimen beliau mengatasi data empirikal malah beliau jauh dari berniat untuk mencadangkan penambahbaikan institusi Islam yang boleh menyumbang kepada kemajuan masyarakat Islam di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemikiran beliau sarat dengan prasangka buruk sehingga beliau tidak melihat sedikit pun kebaikan kepada institusi tahfiz. Di awal hujahnya, Zainuddin mengatakan cadangan beliau adalah suatu provokasi untuk menarik polemik awam.

Kami menegaskan tidak perlu provokasi yang negatif dan mengelirukan seperti itu. Jelas beliau tidak mempedulikan sentimen masyarakat awam serta pihak agensi rasmi kerajaan yang mewujudkan pelbagai institusi Islam di negara ini.

Jika institusi tahfiz dapat melahirkan pemikiran dan ahli profesional sebagai kes terpencil, maka segala kes negatif di institusi tahfiz yang dikutip oleh Zainuddin dalam hujahnya juga adalah terpencil.

Daripada lebih 700 institusi tahfiz dengan lebih 70,000 pelajar yang ada di negara ini, kes negatif yang dicatat oleh Zainuddin sangat kecil.

Beliau bersandarkan hujahnya lebih kepada tanggapan sendiri yang diselubungi sentimen prejudis kepada institusi tahfiz dan merumuskan secara simplistik.

Dengan satu dua kes ustaz yang mengkomersialkan pelajar tahfiz adalah hujah yang lemah untuk menjadi sebab menutup institusi tahfiz. Kerajaan boleh bertindak menghalang pihak-pihak yang jelas menyalahgunakan institusi tahfiz. Kenapa disebabkan beberapa kes terpencil semua institusi tahfiz harus ditutup?

Dakwaan kononnya ibu bapa mahu menghapuskan dosa mereka dengan menghantar anak ke institusi tahfiz sangat melampau. Malah beliau mencatat ‘banyak anak-anak kita yang akan menjadi korban dan membuang masa di sekolah tahfiz persendirian yang masih di luar kawalan’.

Dakwaan ini tidak benar untuk menjadi alasan pukal. Apa yang perlu ialah penyeliaan yang rapi. Apatah lagi beliau mengaitkan pula mayat para hufaz yang tidak reput dengan pemimpin-pemimpin bukan Islam seperti Stalin dan Mao yang dibekukan mayatnya.

Kami hairan kenapa Zainuddin membandingkan sejauh itu dan tidak menghormati niat baik ibu bapa yang inginkan anak mereka menghafal al-Quran. Buruk sangka beliau terhadap kemuliaan para hufaz sangat mendalam.

Lebih jauh daripada itu, Zainuddin mengaitkan pula soal menguasai bahasa Arab sudah tidak releven. Beliau menulis “bahasa Arab tidak lagi mempunyai nilai sebagai bahasa ilmu kecuali dalam bidang agama. Mana ada orang Arab yang terkenal di dunia dalam bidang profesional kerana bahasa Arab sendiri terbantut kemajuannya dalam bidang ilmu”.

Dengan mengungkap tidak ada ahli pakar Islam dalam bahasa Arab, menunjukkan betapa dangkal dan chauvinistik beliau kepada bahasa Inggeris yang diagungkannya sebagai yang lebih utama daripada bahasa Arab iaitu bahasa al-Quran.

Beliau menyatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad berani membawa pandangan kritikal kepada para agamawan berbanding Datuk Seri Najib Tun Razak dan kini kerajaan Pakatan Harapan di bawah Dr. Mahathir sepatutnya berani menyatakan kritikan kepada institusi agama.

Pandangan ini adalah silap. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) diwujudkan pada zaman Dr. Mahathir dan beliau mahu Islam difahami dengan tepat tetapi tidak pula ditimbulkan isu institusi tahfiz tidak relevan.

Dr. Mahathir memang dilihat kritikal terhadap ulama dengan berpandangan bahawa kefahaman mereka membawa kemunduran. Kami juga kritikal terhadap pandangan beliau. Akan tetapi, setakat ini Dr. Mahathir tidak pergi sejauh sehingga mengesyorkan institusi tahfiz perlu ditutup.

Zainuddin mengungkit tragedi kebakaran yang membunuh lebih 20 orang pelajar tahfiz di Kuala Lumpur tidak lama dahulu.

Beliau mendakwa pihak yang bertanggungjawab sepi. Apakah ini benar?

Apakah Zainuddin tidak bertanya kepada pihak berkenaan mengenai langkah yang telah ambil termasuk memeriksa semua institusi tahfiz yang ada di seluruh negeri Selangor? Perlukah Zainuddin dimaklumkan semuanya secara khusus apa langkah yang diambil oleh pihak yang berkaitan?

Memang masih banyak yang perlu dilakukan kepada institusi tahfiz persendirian dari sudut peraturan dan syarat operasinya tetapi tidak sampai menutup semua institusi tersebut.

Tidak dinafikan ada kelemahan dalam pengurusan, pengajaran dan pembelajaran serta penyeliaan sekolah tahfiz. Namun, bagi Mapim semua itu tidak sepi berlaku di sekolah-sekolah lain hatta di sekolah kerajaan sekalipun.

Jika Zainuddin menyenaraikan beberapa kes kelemahan pada sekolah tahfiz, ribuan kes penderaan, salah laku dan kecuaian berlaku di sekolah kebangsaan juga.

Zainuddin sangat prejudis kepada golongan yang berjubah dan berkopiah putih.

MOHD. AZMI ABDUL HAMID

Presiden Mapim

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×