Peningkatan kos bahan api global beri tekanan - Utusan Malaysia

Peningkatan kos bahan api global beri tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARGA bahan api global terus meningkat, sekali gus memberi tekanan terhadap penjana-penjana tenaga bagi menampung lonjakan kos sejajar dengan permintaan elektrik yang semakin bertambah.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam laporan Pandangan Hadapan Tenaga Asia Tenggara 2017 menganggarkan bahawa permintaan terhadap tenaga di rantau ini akan tumbuh hampir dua per tiga menjelang 2040. Hampir 40 peratus pertumbuhan itu dijangka datang daripada arang batu.

“Rantau ASEAN akan bergantung besar ke atas arang batu untuk penjanaan tenaga bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin bertambah, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi,’’ kata Ketua Ahli Ekonomi bagi Tenaga, Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur, Han Phoumin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Semenanjung Malaysia, peranan gas dalam penjanaan tenaga elektrik telah diambil alih arang batu berikutan kenaikan harga gas. Dibandingkan pada 2007, gas asli adalah bahan api dominan yang mewakili 68 peratus campuran bahan api penjanaan elektrik di negara ini. Namun, kini gas dan gas asli cecair berada pada kadar 42 peratus.

Menurut laporan agensi berita kewangan Bloomberg pada 28 Jun lalu, harga gas asli global meningkat buat pertama kali dalam tempoh dua tahun, ekoran permintaan yang tinggi di seluruh dunia. Harga tinggi itu dipacu oleh kenaikan kos minyak mentah yang dipe­ngaruhi kontrak pembekalan berkaitan minyak, selain permintaan lebih tinggi dijangkakan untuk gas asli cecair (LNG).

“Kenaikan penggunaan bahan api fosil paling bersih ini dijangka berterusan pada semua senario utama termasuk senario peralihan agresif ke arah karbon rendah,” menurut laporan pengendali grid Itali, Snam SpA, pelobi dagangan Kesatuan Gas Antarabangsa dan The Boston Consulting Group.

Harga gas di Asia ketika ini merupakan yang tertinggi berbanding hab gas utama global yang lain. Menurut Bloom­berg, harga gas di Amerika Syarikat kekal termurah, de­ngan 62 pe­ratus lebih rendah berbanding Asia dan separuh daripada paras di Kesatuan Eropah.

Senario di Semenanjung Ma­laysia pula, kenaikan harga gas asli di bawah program rasionalisasi subsidi gas ke arah harga pasaran turut memberi tekanan. Peningkatan beransur-ansur pada kadar RM1.50/mmbtu dalam tempoh empat tahun lepas telah menjadikan­nya meningkat kepada RM25.70/mmbtu pada Julai 2018 berbanding RM15.20/mmbtu pada Januari 2014.

Justeru, usaha telah diambil bagi mempelbagaikan bahan api dengan menjurus kepada pergantungan lebih tinggi ter­hadap arang batu. Dibandingkan pada 2007, gas asli adalah bahan api dominan yang mewakili 68 peratus campuran bahan api penjanaan elektrik di negara ini. Namun, peranan gas asli itu telah diambil alih oleh arang batu.

Pada masa ini, penjanaan tenaga bergantung tinggi kepada arang batu pada 53 peratus, diikuti gas (42 peratus) serta lima peratus lagi daripada hidro bersama dengan teknologi tenaga diperbaharui (RE) dalam bentuk lain.

Arang batu adalah 100 peratus diimport menjadikannya tertakluk kepada harga pasaran dan juga tukaran mata wang ­asing. Pada tahun lalu, 63 peratus arang batu diimport dari Indonesia, Australia (24 peratus), Rusia (11 peratus) dan Afrika Selatan (2 peratus).

Mengikut statistik di laman web Tenaga Nasional Berhad (TNB), import arang batu untuk penjanaan tenaga menunjukkan trend meningkat sejak empat tahun lepas. Bermula pada paras 19.3 juta tan pada 2014; ia bertambah kepada 22.2 juta tan pada 2015; 25.4 juta tan pada 2016 dan 27.4 juta tan pada 2017.

Dari segi kos perbelanjaan, industri penjanaan tenaga di negara ini membelanjakan le­bih RM17 bilion setahun untuk menampung kos bahan api bagi menjana elektrik, jumlah yang dapat membina dua kompleks menara berkembar Petronas.

Pada 2017, bagi menjana 63,563 Gigawatt jam (gwj) elektrik menggunakan arang batu, sebanyak RM8.6 bilion dibelanjakan manakala bagi gas dan gas asli cecair sebanyak RM8.5 bi­lion lagi dibelanjakan bagi menjana 50,935 gwj tenaga.

Jelas, peralihan pergantungan kepada arang batu adalah langkah yang tepat kerana kos gas asli adalah lebih mahal berbanding arang batu, seiring juga dengan program rasionalisasi subsidi gas.

Agak membimbangkan, setelah empat tahun harga arang batu menurun dengan stabil, keadaan berubah kebelakangan ini. Sebagai contoh pada separuh kedua tahun lalu, harga arang batu Newcastle Australia mencecah AS$109.70/tan metrik pada 11 November 2016. Awal minggu lepas, ia telah pun mencecah paras AS$120/tan metrik, melepasi paras tertinggi pada 2012.

Bagi tahun kewangan ber­akhir Ogos 2017, harga purata arang batu yang dibeli TNB dari keempat-empat negara tersebut telah me­ningkat kepada RM314.7/tan metrik daripada RM231.1/tan metrik.

Hakikatnya, permintaan elek­trik semakin meningkat saban tahun bagi memenuhi permintaan 8.8 juta akaun pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia setakat 2017. Jumlah permintaan tertinggi elektrik telah pun mencecah 18,010 mW pada 2018.

Mujur dengan margin rizab tenaga lebih kurang 30 peratus, negara masih mendapat bekalan yang berterusan. Ri­zab tinggi ini, sebahagian kecilnya dibantu dengan langkah mengoptimumkan kecekapan stesen janakuasa arang batu menggunakan teknologi ultra-supercritical (USC).

Sejak 2011 lagi, pembinaan semua stesen baharu menggunakan USC kerana ia ber­upaya meningkatkan kecekapan penjanaan. Manjung 4, stesen ja­nakuasa arang batu 1,000 mW milik TNB yang mula beroperasi pada April 2015 adalah stesen janakuasa arang batu USC pertama di ASEAN.

Berbanding teknologi konvensional, janakuasa arang batu USC lebih efisien dengan keupayaan menghasilkan lebih tenaga dengan membakar jumlah arang batu yang sama.

Ia turut mematuhi piawaian alam sekitar yang lebih ketat. Pembinaan stesen janakuasa arang batu yang lebih efisien akan ditingkatkan di masa depan untuk memaksimumkan manfaat teknologi terkini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×