MELAKA 12 Julai – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) memberi jaminan Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang di sini mampu menampung jumlah buangan sisa pe-pejal dari seluruh Melaka sehingga sel baharu siap dibina awal tahun depan.
Pengurus SWM Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr. Al’ Ashari Othman berkata, pihaknya menyedari keperluan pembinaan sel baharu itu memandangkan tapak tersebut menerima jumlah buangan yang tinggi mencecah 1,000 tan sisa pepejal sehari.
Menurutnya, walaupun tapak berkenaan telah diperluaskan tahun ini, namun ia dilihat tidak mencukupi untuk menampung jumlah buangan untuk tempoh panjang dan pembinaan sel baharu dapat mengurangkan bebanan tersebut.
“Justeru, tapak sedia ada dijangka boleh menampung sampah sehingga hujung tahun ini dan dalam masa sama, sel baharu juga telah mendapat kelulusan dan akan dibina sebelum tapak pelupusan itu penuh.
“Bagaimanapun, kita masih belum boleh pastikan bila sel baharu itu akan siap, namun memberi jaminan ia akan dapat selesai sebelum tapak sedia ada penuh,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Program Kasih – Senyum Syawal SWM Melaka di sini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew dan Pengarah Eksekutif SWM Environment, Dr. Uzir Abdul Malik.
Jelas Al’ Ashari, apa yang penting kajian mengenai kerja tanah dan kejuruteraan persekitaran sel baharu itu telah dibuat dan ia diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Pembinaan sel baharu berkenaan dijangka akan mengurangkan tekanan sisa buangan di kawasan tersebut dalam tempoh masa yang lebih lama,” kata beliau.
Sementara itu, pada majlis tersebut, SWM turut meraikan 40 anak yatim dari Darul Ulum Al-Islamiah, Bukit Katil di sini dengan pelbagai hidangan istimewa hari raya selain sumbangan duit raya.
“Program julung kali diadakan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti SWM untuk berkongsi keceriaan Syawal bersama golongan kurang bernasib baik,” tambahnya.











