UMNO Selangor serah empat nama calon PRK Sungai Kandis kepada Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

UMNO Selangor serah empat nama calon PRK Sungai Kandis kepada Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG – UMNO Selangor telah menyerahkan empat nama yang terdiri daripada pemimpin tempatan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos depan. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, keempat-empat nama berkenaan yang terdiri daripada calon lelaki dan wanita itu telah diserahkan kepada Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelmarin untuk dipertimbangkan sewajarnya. 

“Semalam saya telah pun berjumpa dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan berbincang dari hati ke hati mengenai PRK ini. Malah saya juga telah pun menyerahkan nama yang boleh dipertimbangkan sebagai calon bagi PRK DUN Sungai Kandis. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun ia belum muktamad kerana siapa calon yang akan bertanding akan diputuskan oleh kepimpinan parti terutamanya presiden. Terpulanglah kepada mereka sama ada untuk mengangkat calon yang kita cadangkan atau mereka mempunyai calon sendiri yang juga calon luar,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada 125 bakal haji Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini. 

Pada masa sama, Noh turut mengulangi pendirian UMNO Selangor yang turut bersetuju supaya calon yang akan bertanding pada PRK DUN Sungai Kandis menggunakan logo UMNO dan bukannya atas tiket Barisan Nasional. 

Dalam pada itu, ketika ditanya jika pucuk pimpinan parti meletakkan calon luar pada PRK Dun Sungai Kandis, Noh menyatakan bahawa pihaknya akur dengan keputusan berkenaan dan akan menyokong siapa sahaja calon yang dipilih parti.

“Kita akan beri kerjasama jika pucuk pimpinan parti meletakkan calon luar. Ada yang beri pandangan kenapa tidak meletakkan calon luar, yang ini kita serah kepada kepimpinan parti. 

“Apa yang pasti untuk PRK kali ini, kita juga akan tampil dengan tema baharu ketika berkempen iaitu undi UMNO jika mahu kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji,” ujarnya. 

Noh turut mengakui agak sukar untuk UMNO merampas kerusi DUN Sungai Kandis berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) namun kita akan memberi saingan sengit kepada parti lawan. 

Sementara itu, Noh mengulangi pendiriannya untuk kekal dengan keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih kepimpinan negeri yang baharu.

“Apa yang pasti bukan saya, walaupun ada yang minta tetapi saya kena pegang janji saya sebab saya telah gagal untuk memimpin Barisan Nasional (BN) Selangor  pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu jadi berilah peluang kepada orang baru yang ada pendekatan lebih baik berbanding saya untuk mengisi tempat ini.

“Bagaimanapun sehingga pengerusi baharu dilantik saya masih mengalas jawatan ini,” elasnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×