KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang membantu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mempengerusikan hari pertama Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249 di Istana Negara semalam bertitah, pemilihan pengundi menghasilkan satu keputusan pilihan raya yang mengubah landskap politik dan menempa satu sejarah baharu dalam negara.
“Proses peralihan kuasa berlangsung secara teratur, tenteram dan aman membuktikan rakyat Malaysia telah mempamerkan sifat kematangan berpolitik.
“Warga Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa amalan demokrasi di negara ini bukan sahaja berakar subur, malah telah mencapai tahap kedewasaan,” titah baginda yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Nazrin bertitah, tidak boleh dinafikan bahawa intensiti ketika berkempen menyebabkan rakyat terbahagi kepada dua pihak bertentangan, namun baginda percaya usaha mengembalikan perpaduan rakyat dapat dilakukan.
“Demi masa depan negara, usaha ke arah mengembalikan perpaduan rakyat wajib dirintis dengan mengamalkan budaya demokrasi yang tinggi, menjunjung semangat inklusif bahawa yang menang tidak menang semua manakala yang tewas, tidak pula tewas semua,” titah baginda.











