KRITIKALNYA dinilai komposisi barisan Kabinet sesebuah negara kerana ia adalah manifestasi gaya tadbir urus dan hala tuju sesebuah negara yang mencakupi bidang ekonomi sehinggalah pengamalan strategi dasar luar.
Pelabur asing umpamanya yang berhasrat melabur di sesebuah negara sudah pasti membuat penilaian bukan sahaja terhadap gaya kepimpinan pemimpin tertinggi kerajaan tetapi juga terhadap barisan Kabinet. Begitu jua dengan pemimpin global lain membuat penilaian yang serupa seperti mana pelabur asing cuma lebih memberi tumpuan kepada faktor dasar luar.
Sebab itu juga apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan sebahagian besar barisan menteri Kabinet beliau dua minggu lalu, maka lenyaplah teki-teki mengenai hala tuju kerajaan Pakatan Harapan dalam mengurus negara kerana hakikatnya komposisi Kabinet tersebut adalah bayangan kepada dasar pengurusan Dr. Mahathir.
Rakyat sudah pasti tidak mahu senario yang mana pelabur asing membuat keputusan pelaburan bersandarkan andaian semata-mata kerana besar kemungkinan andaian tersebut tidak menggambarkan keadaan yang sebenar. Begitu jua dalam hubungan diplomasi antarabangsa, kerajaan negara asing sudah pasti mahu berurusan dengan perkara yang nyata dan terbukti kesahihannya.
Sebab itu tidak mengejutkan apabila Menteri Luar Britain, Boris Johnson meletak jawatan beberapa hari lalu kerana keputusan itu bersangkut paut dengan tentangan Johnson terhadap dasar yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Theresa May untuk membawa Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU).
Begitu jua apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump membuat keputusan untuk memecat Setiausaha Negara, Rex Tillerson pada Mac lalu, ia bersangkut paut dengan kedua-dua mereka tidak sehaluan dalam beberapa perkara yang bersangkut paut dengan dasar luar mengenai Rusia, Iran dan juga Korea Utara.
Laporan yang agak negatif mengenai keadaan ekonomi Malaysia yang dikeluarkan oleh Nikkei Asian Review kelmarin yang antara lain kurang yakin dengan dasar ekonomi Dr. Mahathir sebenarnya adalah cabaran kepada beberapa menteri terutama sekali yang menerajui Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Memang tidak dinafikan aliran keluar dana saham dan penyusutan nilai ringgit sedikit sebanyak ada kena mengena dengan faktor luar kawalan seperti ketegangan dagang antara AS dan China, tetapi hakikatnya adalah keyakinan perlu disuntik terutama sekali untuk menongkah persepsi negatif hal pemberhentian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan juga jumlah hutang negara.
Begitu penting sekali ketiga-tiga menteri kementerian berkaitan bukan sahaja membantu Perdana Menteri memulihkan persepsi negatif antarabangsa tetapi juga bekerjasama di antara satu sama lain supaya kenyataan yang dibuat dan dasar yang dirangka tidak bercanggah di antara satu sama lain.
Ketika Dr. Mahathir melawat Jepun empat minggu lalu, beliau ada menyentuh mengenai kekhuatiran penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Tetapi sehingga ke hari ini masih belum ada keputusan muktamad dibuat kerana tarikh akhir ratifikasi perjanjian ini adalah Februari 2019 dan masa kelihatan agak suntuk kerana beberapa perundangan tempatan terpaksa digubal atau diubah sebelum Malaysia memuktamadkan perjanjian ini. Kelewatan membuat keputusan kritikal sebegini sedikit sebanyak telah menyumbang persepsi negatif keadaan pengurusan ekonomi Malaysia.
Begitu juga dengan pelantikan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah sedikit sebanyak telah memberi ruang kelegaan dalam hal pengurusan dasar luar negara yang dianggap sama penting dengan pengurusan ekonomi negara. Seperti mana pelabur asing membuat penilaian bersandarkan siapakah menteri berkaitan ekonomi dan kewangan begitu jua pemimpin negara asing membuat pengamatan dalam hal diplomasi dua negara bersandarkan siapakah yang menerajui Kementerian Luar.
Bukan sahaja Saifuddin akan berdepan dengan kuasa besar seperti AS dan China terutama sekali berkaitan tuntutan bertindih gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, tetapi juga paling penting perlu berurusan dengan negara jiran dan serantau. Malaysia walaupun dianggap sebagai sebuah negara kecil dari segi pengaruh antarabangsa, tetapi dalam hal geopolitik Asia Pasifik, mempunyai pengaruh yang agak besar. Setiap tindakan dan kenyataan Saifuddin selepas ini akan dinilai dengan teliti kerana mampu memberi persepsi arah tuju dasar luar Malaysia berkaitan hubungan dengan negara asing terutama kuasa besar.
Menarik juga jika diungkit semalam Parlimen Singapura telah membahaskan beberapa isu mengenai dasar luar Malaysia kerana hakikatnya pengamalan dasar akan pasti berbeza jika hendak dibandingkan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Menariknya dalam perbahasan terutama sekali dalam hal berkaitan status projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Perjanjian Air 1962, Menteri Luar Vivian Balakrishnan menegaskan tiga asas utama hubungan di antara dua negara jiran ini.
Ketiga-tiga asas tersebut menurut Balakrishnan lagi ada kena mengena dengan keutuhan dan kepatuhan terhadap perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai oleh kedua-dua negara bukan sahaja dalam kes HSR dan kadar air, tetapi juga merangkumi perkara lain.
Menariknya apabila beliau mengaitkan asas tersebut dengan Perjanjian Pemisahan 1965. Sebab itu dikatakan agak menarik untuk menanti bagaimana Malaysia berurusan dengan kuasa besar seperti AS dan China tetapi dijangkakan menjadi lebih menarik bagaimana Dr. Mahathir serta menteri Kabinet beliau berhadapan dengan negara jiran seperti Singapura.











