KUALA LUMPUR – Anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa akaun bank peribadi miliknya telah dibekukan selepas beliau membayar wang ikat jamin bapanya sebanyak RM500,000 semalam.
Nooryana Najwa mendakwa, lebih mengejutkan apabila akaun anak lelakinya yang berusia 10 bulan turut dibekukan. Akaun itu didakwa hanya mempunyai duit raya RM100.
“Sebaik selepas saya membayar wang jaminan untuk ayah saya semalam dengan wang yang dikumpulkan daripada rakan dan saudara-mara, saya dimaklumkan oleh pihak bank bahawa mereka diarahkan untuk membekukan akaun peribadi saya.
“Akaun bank anak lelaki saya turut dibekukan, (ia adalah) duit raya pertamanya tahun ini,” katanya dalam laman sosial Facebook miliknya semalam.
Nooryana turut mempersoalkan sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PH) begitu berdendam dan berusaha untuk “menghapuskan” seluruh keluarganya.
“Apa kaitan duit raya saya dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB)?” soalnya.
Najib kelmarin dibebaskan dengan jaminan RM1 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah dan rasuah. Beliau dibebaskan selepas ahli keluarganya membayar separuh daripada wang itu.
Sementara itu, Pengerusi Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Adam mendakwa kerajaan PH semakin melampau apabila membekukan akaun cucu Najib.
“Tidak cukup dengan menuduh Najib mencuri duit 1MDB sebanyak RM2.6 bilion sehingga membolehkan Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya, kini cucunya pula menjadi mangsa keganasan politik balas dendam.
“Semakin hari semakin haprak pemerintahan kuku besi Mahathir. Tuduh Najib curi duit 1MDB RM2.6 bilion, separuh negara terpedaya pangkah PH, mereka sudah menang.
“Sekarang akaun bank yang hanya ada RM100 pun kena beku,” tulis Lokman melalui laman sosial Instagram miliknya semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki menafikan pihaknya telah membekukan akaun anak lelaki Nooryana Najwa.











