KUALA LUMPUR 5 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO mengumumkan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah dilantik sebagai Ketua Penerangannya yang baharu.
Pelantikan itu dimaklumkan oleh Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pemilihan Pemuda UMNO 23 Jun lalu, Mohd. Shahar tewas kepada Asyraf Wajdi dalam pertandingan mengisi jawatan Ketua Pemuda.
Asyraf Wajdi turut mengumumkan tiga lagi pelantikan iaitu Penolong Setiausaha, Johari Yazid; Penolong Bendahari, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Setiausaha Kerja, Ahmad Zaim Ahmad Tawfek.
Walau bagaimanapun, nama bekas Naib Ketua Pemuda, Senator Khairul Azwan Harun yang juga tewas kepada Asyraf Wajdi pada pemilihan lalu tiada dalam senarai lantikan tersebut.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO komited untuk melakukan transformasi dan pembaharuan demi mengembalikan kekuatan parti itu sebagai tunjang orang Melayu dan Islam.
Katanya, pemilihan kali ini telah menyaksikan ramai muka baharu dalam kalangan anak muda pelbagai lapisan termasuk golongan profesional, bekas pemimpin mahasiswa dalam dan luar negara, agamawan serta usahawan muda.
“Kesimpulannya, masih ramai ahli UMNO yang sayangkan parti serta mahu ia bangkit kembali untuk terus kekal relevan dalam pentas politik tanah air demi perjuangan memartabatkan Islam, bangsa dan tanah air.
“Oleh yang demikian, agenda perkaderan, pentarbiyahan, pembudayaan ilmu, pemerkasaan rohani dan pemantapan jati diri yang saya tekankan dalam manifesto akan menjadi keutamaan dalam usaha pengislahan serta trasnformasi pemuda,” katanya.
Beliau menambah, bagi lantikan Exco atau Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO yang diperuntukkan oleh Perlembagaan parti, semua ahli UMNO yang berdaftar boleh menawarkan diri dengan menghantar resume melalui e-mel kepada [email protected]. – UTUSAN ONLINE










