Usaha kesan, sahkan status 54 rakyat Malaysia di Nepal diteruskan

Usaha kesan, sahkan status 54 rakyat Malaysia di Nepal diteruskan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia meneruskan usaha mengesan dan mengesahkan status 54 rakyatnya yang masih dilaporkan belum dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China, meskipun operasi mencari dan menyelamat di Nepal telah ditamatkan.

Kementerian Luar memaklumkan, peralihan kepada operasi pencarian dan pemulihan di Nepal tidak bermakna usaha Malaysia untuk mengesahkan status kesemua individu berkenaan telah berakhir.

Menurut kementerian, pihaknya terus memantau perkembangan di Nepal susulan pengumuman rasmi National Disaster Risk Reduction and Management Authority Nepal pada 30 September lalu bahawa operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peralihan ini tidak bermakna usaha Malaysia untuk mengesahkan status 54 rakyat Malaysia yang masih dilaporkan belum dapat dihubungi telah berakhir.

“Malaysia akan terus mendapatkan pengesahan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, hubungan dengan pihak berkuasa berkaitan serta saluran rasmi lain yang tersedia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian, pihaknya akan terus mengesahkan setiap kes secara berasingan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui pihak berkuasa berkaitan dan saluran yang tersedia.

Kementerian juga akan mengikuti perkembangan proses perundangan dan pentadbiran yang sedang dibangunkan di Nepal berhubung dokumentasi serta prosedur yang terpakai kepada mangsa bencana yang masih belum dapat dihubungi.

“Perkembangan yang telah disahkan bagi setiap kes akan terus dimaklumkan secara langsung kepada waris terdekat individu terlibat.

“Orang ramai dan pihak media digesa supaya menghormati privasi keluarga berkenaan serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, kementerian berkata, seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan belum dapat dihubungi telah hadir ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober lalu.

Kedutaan telah mengesahkan identiti individu berkenaan serta mengesahkan bahawa beliau berada dalam keadaan selamat.

Kementerian turut mengesahkan individu itu telah selamat kembali ke Malaysia pada 2 Oktober.

Susulan kepulangannya, pihak berkuasa berkaitan di Malaysia akan mengambil keterangan daripada individu berkenaan bagi melengkapkan rekod rasmi berkaitan kes beliau.

“Individu itu juga akan menjalani saringan kesihatan, manakala Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan menjalankan pengesahan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan serta meneliti semula rekod susulan perkembangan tersebut.

“Dengan status individu berkenaan kini disahkan, rekod kementerian menunjukkan 54 rakyat Malaysia masih dilaporkan belum dapat dihubungi.

“Kementerian juga tidak akan mendedahkan maklumat peribadi lanjut mengenai individu berkenaan bagi menghormati privasi beliau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN