DUNGUN – Seorang kakitangan syarikat cari gali minyak dan gas nasional, Petronas hampir maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya hangus terbakar akibat terlibat dalam kemalangan merempuh bangkai seekor babi hutan di Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Ketengah Jaya dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.20 malam, mangsa, Izudin Embong sempat menyelamatkan diri selepas keluar daripada keretanya yang sedang marak terbakar.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Razidi Abdul Rahim berkata, sewaktu kejadian, Izudin dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Kerteh, Kemaman ke rumahnya di Bandar Ketengah Jaya.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian iaitu persimpangan masuk ke Bandar Ketengah Jaya dari Santong, Paka dekat sini, kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa telah terlanggar bangkai seekor babi hutan yang bergelimpangan di tengah jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan kereta tersebut terbabas di tepi jalan sebelum berlaku kebakaran kecil dipercayai akibat kerosakan enjin,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE











