Skuad Tok Gajah tak rela kempunan lagi - Utusan Malaysia

Skuad Tok Gajah tak rela kempunan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Skuad Pahang berikrar akan berusaha bermati-matian untuk menumpaskan Selangor di pentas final Sabtu ini bagi membawa pulang Piala FA pada musim ini selepas kempunan melakukannya pada tahun lepas.

Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, beliau tidak boleh mengambil kira rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada saingan liga musim ini kerana ia tidak memberi gambaran sebenar kekuatan pasukan lawan.

“Kita tidak boleh anggap perlawanan menentang Selangor sesuatu yang mudah… walaupun sebelum ini tidak silap saya kita mencatat tiga kemenangan di sana dan satu seri di sini dalam saingan liga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, setiap perlawanan itu berbeza, kita perlu sedar Selangor mencatat sembilan gol dalam saingan Piala FA musim ini dan ia menunjukkan aspek jaringan mereka bagus.

“Saya percaya kita boleh berikan yang terbaik, sekurang-kurangnya selepas kita terlepas menjadi juara tahun lepas, kita berpeluang merebut kembali Piala FA untuk dibawa pulang ke Pahang,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Darul Makmur di sini semalam.

Dollah berkata, apa yang lebih menggembirakan beliau ialah apabila mendapati kesemua pemain utama skuad Tok Gajah kini bebas daripada masalah kecederaan.

“Dari segi persiapan, saya gembira kerana semua pemain boleh beraksi termasuk Patrick Cruz yang menunjukkan tanda-tanda boleh diturunkan pada perlawanan akhir ini.

“Namun kesukaran bagi diri saya pula kerana hanya boleh menyenaraikan empat pemain import… apa pun, ia baik untuk pasukan dan memang kita rasa seronok.

“Oleh itu saya akan membuat penilaian pada sesi latihan terakhir bagi menentukan siapa yang lebih layak untuk disenaraikan,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN