PUTRAJAYA 4 Julai – Kementerian Pengangkutan memutuskan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang bertujuan membantu masyarakat luar bandar memiliki Lesen Memandu Percubaan (P) motosikal kelas B2 dihentikan serta-merta.
![]() |
|
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
|
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya membuat keputusan itu kerana mendapati program berkenaan tidak menekankan sepenuhnya proses pembelajaran, latihan mahupun ujian memandu yang ketat.
“Tidak perlu pergi institut memandu, tidak perlu pergi kursus dan hanya berlatih di kawasan luar bandar, kawasan kampung, boleh diberikan lesen.
“Tetapi kita tidak berasakan perkara ini patut sebab tidak melalui proses pembelajaran dan kursus yang lebih ketat dan ujian pun tidak ketat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di kementeriannya di sini, hari ini.
Katanya, program berkenaan yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu menyasarkan golongan masyarakat luar bandar berusia 45 tahun ke atas, belia 21 tahun ke atas, Orang Asli serta warga emas.
Ujar Anthony, dengan penghentian program yang telah memberikan lesen memandu kepada 132,851 orang di seluruh negara itu, mana-mana pemohon lesen memandu perlu mengikuti prosedur sedia ada melalui institut memandu. – UTUSAN ONLINE












