MENJADI pelakon yang sedang meningkat naik dan rebutan pengarah membuatkan ketiga-tiganya yang dikenali sebagai Jasmine Suraya Chin, Fadlan Hazim dan Erwin Dawson tidak lelah bekerja keras untuk menempatkan diri sebaris pelakon sedia ada. Biarpun bukan satu perjalanan mudah namun banyak lagi yang perlu dipelajari untuk kekal dalam bidang seni yang penuh mencabar.
Bagi Jasmine, sejak dua tahun kebelakangan ini, dia memilih untuk lebih fokus dalam bidang lakonan berbanding pengacaraan memandangkan itu merupakan impiannya sejak zaman kanak-kanak lagi. Bersyukur dengan tawaran berlakon drama dan filem yang semakin mencurah-curah, pengacara rancangan Bola Sepak, si jelita ini tidak sesekali ingin melepaskan peluang yang datang.
Begitu juga dengan Fadlan Hazim, dia sentiasa menggunakan kesempatan yang ada sebaiknya untuk bergelar pelakon serba boleh. Tidak terlalu selektif dalam pemilihan watak, baginya setiap watak mempunyai cabaran yang tersendiri. Enggan terikat pada satu-satu watak, dia gemar mencuba kepelbagaian untuk membuktikan bakat terpendam yang dimilikinya.
Sementara bagi Erwin Dawson pula, percaturan untuk mencuba nasib di Malaysia merupakan satu peluang keemasan yang tidak disangka. Ternyata peminat di sini terbuka menerima dirinya dan yang pasti kariernya semakin berkembang. Biarpun lebih aktif di sini berbanding negara sendiri namun bukanlah bermakna dia terus menguburkan kariernya di Singapura. Jika ada masa terluang Erwin tetap menerima tawaran yang diberi.
Jelita dan berbakat
NAMANYA terkenal kerana kepetahannya mengacara rancangan-rancangan sukan. Namun kini dia mula mencipta nama dalam bidang lakonan. Berbekalkan wajah yang jelita, sejak tahun lalu wanita kelahiran Sarawak ini semakin tidak menang tangan dengan tawaran berlakon drama mahupun filem.
Baru sahaja selesai penggambaran filem Paskal bersama pelakon Hairul Azreen, Jasmin mengakui watak yang dibawa agak berat kerana dia perlu bermain dengan emosi. Filem yang menjalani penggambaran di pelantar minyak Semporna, Sabah ini mengisahkan sepasukan anggota unit elit Pasukan Khas Laut dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia.
“Agak mencabar namun saya gembira kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk berlakon dalam filem aksi di samping mereka yang berpengalaman. Tak dinafikan ia sangat menguji ketahanan dari segi fizikal dan juga mental. Dengan keadaan cuaca yang panas dan laut yang bergelora, namun itu bukanlah penghalang untuk memberi yang terbaik.
“Sebelum Paskal, saya terlibat dalam filem Romusha. Filem ini juga agak mencabar mengisahkan penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu dan Burma. Dalam cerita ini, saya terpaksa belajar bahasa Thailand selama enam minggu untuk menjiwai watak. Mujurlah mudah untuk saya mendalami bahasa itu biarpun pada mulanya tidak berapa yakin dapat menguasainya,” ujar pelakon genit ini.
Tambahnya lagi, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Full House yang diadaptasi daripada drama Korea Selatan yang popular satu ketika dahulu. Bergandingan bersama pelakon-pelakon hebat yang lain seperti Aiman Hakim Redza, Hannah Delisha dan ramai lagi, ternyata Jasmine cukup teruja dengan kesempatan yang diperoleh.
“Tahun ini saya akan lebih menumpukan perhatian kepada bidang lakonan. Bukan mudah untuk mencipta nama dalam bidang ini namun kerana minat yang mendalam, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Sebagai pelakon baru, saya ingin mempelbagaikan watak untuk menguji kemampuan. Sebelum ini, saya pernah melakonkan watak sebagai pelacur dalam drama bersiri KL Gangster Underworld di bawah Skop Production,” ujar Jasmine.
Dek kerana raut wajah serta namanya seakan-akan Melayu, ramai yang sering terkeliru dan menyangka dia beragama Islam. Tidak kisah dengan tanggapan ramai, namun disebabkan hal tersebut, pelakon wanita jelita ini sering dimarahi peminat kerana berpakaian seksi.
“Saya sudah biasa dengan perkara tersebut. Biarpun kadang-kadang dikecam di laman sosial namun saya tidak cepat melatah. Malah sejujurnya saya cukup berbangga kerana dikurniakan seraut wajah kemelayuan. Lagi pula ramai dalam kalangan rakan-rakan yang terdiri daripada orang Melayu,” tuturnya lagi.
Wajah ‘jambu’ Erwin
BERBEKALKAN wajah yang kacak, menjadi kelebihan buat pelakon kelahiran Singapura ini untuk mencipta nama dalam bidang seni. Selain aktif dalam bidang pengacaraan sebagai hos rancangan Feel Good Show, NTV7, wajahnya sering menghiasi drama televisyen dan juga filem. Terbaru, dia sedang giat mempromosikan filem Pulang yang akan ditayangkan penghujung Julai.
“Diinspirasikan daripada kisah benar Pulang sebuah karya hebat dari pengarah Kabir Bhatia. Saya memang kagum dengan Kabir dan berbangga kerana diberi peluang berlakon. Berlatarbelakangkan era 1940-an hingga tahun 2010 sememangnya Pulang adalah sebuah naskhah yang menarik. Ia berdasarkan tentang inspirasi seorang kelasi kapal Melayu yang ketika itu berpangkalan di Melaka,” ujarnya.
Ditanya tentang watak baik yang sinonim dengan dirinya, menurut Erwin di Malaysia ramai yang menganggap wajah ‘jambu’ yang dimiliki olehnya tidak sesuai membawa watak antagonis berbanding di negara kelahirannya di mana dia sering diberi memegang watak tersebut.
“Bila sampai di Malaysia terbalik pula. Kebanyakan watak yang saya bawa di sini merupakan watak baik memandangkan ramai yang mengatakan muka saya tidak sesuai dengan watak jahat. Apapun saya tidaklah kisah tetapi kalau nak diikutkan saya okey sahaja dengan watak kasar. Bagi saya sebagai pelakon kita sendiri perlu ada cara tersendiri untuk menghidupkannya,” tuturnya.
Selain daripada sibuk dengan bidang pengacaraan dan juga lakonan, Erwin juga melangkah setapak ke hadapan dalam bidang perniagaan. Dia kini sedang dalam proses untuk mengeluarkan produk kecantikan iaitu serum untuk penjagaan wajah yang dikenali sebagai Bloom by Dawson.
“Semuanya masih lagi dalam perancangan. Insya-Allah ia akan dipasarkan dalam tahun ini juga. Percubaan saya dalam bidang ini bukanlah sekadar suka-suka dan menggunakan tiket sebagai artis untuk lariskan produk tetapi ia merupakan sesuatu yang serius dan saya akan cuba sebaiknya untuk mengukuhkan jenama itu sendiri,” ujarnya yang turut ingin menimba sebanyak mungkin pengalaman dalam bidang perniagaan.
Aksi mencabar Fadlan
BARU sahaja selesai menjalani filem berjudul Sangkar bersama pelakon-pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Remy Ishak, Fadlan mengakui filem bergenre aksi tersebut agak mencabar dan betul-betul menguji kemampuannya sebagai pelakon. Ini kerana dia dan barisan pelakon lain terpaksa mendalami aksi-aksi tertentu dengan ahli profesional.
“Bayangkan belum lagi berlakon, saya dan pelakon lain sudah pun tercedera ketika latihan. Ambil masa juga untuk memastikan mental dan fizikal betul-betul biasa dengan pergerakan ganas. Bagi saya kecederaan itu normal memandangkan kita bukanlah ahli profesional tetapi Alhamdulillah dalam masa sebulan sahaja badan saya sudah terbiasa.
“Pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi untuk filem tersebut. Bayangkan penggambaran dijalankan dalam bulan puasa baru-baru ini, jadi agak letih juga sampai rasa mahu pengsan dibuatnya. Disebabkan itu, kami terpaksa berbincang dengan pengarah untuk melakonkan watak aksi di sebelah malam. Pun begitu tetap penat juga sebab letih berpuasa di siang hari belum hilang,” tuturnya.
Selain itu, Fadlan juga terlibat dalam drama bersiri KL Gangster Underworld dan dalam masa yang sama sedang menjalani penggambaran drama bersiri di TV3. Sinonim dengan watak antagonis dan sering ditawarkan watak sebegitu, pelakon ini bagaimanapun mengakui dia sebenarnya mampu melakonkan watak-watak lain seperti romantik, lawak dan sebagainya.
“Mungkin raut muka yang agak garang jadi banyak tawaran memainkan watak yang serius. Saya pernah juga beberapa kali ditawarkan untuk watak hero namun setiap kali itu jugalah saya sudah terikat dengan komitmen lain. Jadi terpaksa ditolak. Jadi saya anggap sahaja bukan rezeki lagi.
“Pun begitu sebagai pelakon sebenarnya saya tidak terlalu memilih dari segi watak kerana bagi saya apapun watak yang ditawarkan paling penting kita perlu bijak untuk menghidupkan karakter yang diberi. Besar atau kecil peranan kita dalam sesuatu cerita tersebut, kena bijak untuk menarik perhatian penonton. Itu sebaiknya,” katanya.











