KUALA LUMPUR 1 Ogos – Perbicaraan kes saman RM500,000 oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap seorang kontraktor atas dakwaan memfitnah dengan menggambarkan beliau telah menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri Kabinet ketika itu akan didengar pada 13 dan 17 Ogos ini.
Peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Zaid Omar memberitahu pemberita, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Firuz Jaffril menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes saman oleh bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 12 Disember tahun lalu, Ismail Sabri menyatakan, Zaid yang dinamakan sebagai pihak defendan melalui aplikasi laman sosial Facebook miliknya di bawah profil Zaid Bera dengan salah dan berniat jahat didakwa memuat naik dan menyiarkan perkataan berbaur fitnah pada 26 September 2017.
Perkataan tersebut bagi Ismail Sabri selaku pihak plaintif membawa maksud antara lain, beliau telah menyalahgunakan kuasa sebagai menteri Kabinet ketika itu, melangkaui bidang kuasanya dan mengeluarkan suatu arahan kepada Giat Mara (cawangan Bera) bahawa pemilihan kontraktor tempatan di Daerah Bera, Pahang akan dijalankan secara tertutup.
Naib Presiden UMNO itu mendakwa, pernyataan tersebut disebarkan secara melulu dan berniat jahat sehingga menyebabkan reputasi beliau sebagai ahli politik terjejas dan dihina.
Selain menuntut ganti rugi RM500,000, Ahli Parlimen Bera yang pada 26 Julai lalu dipilih sebagai Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional atau Barisan Nasional Parliamentary Council (BNPC) turut menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Zaid dalam pernyataan pembelaan bertarikh 15 Februari lalu pula menafikan, dia berniat jahat memuat naik dan menyiarkan perkataan tersebut selain menyatakan pernyataan itu mempunyai justifikasi (kewajaran).
Pihak defendan juga menyatakan, kritikannya itu dibuat dalam suatu keadaan berkepentingan perlindungan bersyarat tanpa sebarang niat jahat selain merupakan komen berpatutan dalam perkara berkepentingan awam.











