Cucu, cicit ditahan rompak nenek - Utusan Malaysia

Cucu, cicit ditahan rompak nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 1 Ogos – Seorang cucu dan cicit tergamak menyamun nenek mereka sendiri dalam satu kejadian di Kampung Contoh dekat Bagan Ajam di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang berusia 83 tahun sedang tidur sebelum mendengar pintu biliknya diketuk berulang kali sebelum dia membuka pintu kerana menyangka dipanggil oleh anaknya.

Secara tiba-tiba mangsa dipeluk dari arah belakang sebelum diacukan pisau ke bahagian dada sebelum suspek mengarahkannya menyerahkan rantai tangan dan rantai leher emas yang dipakainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek kemudiannya melarikan diri menerusi pintu belakang.

Menurutnya, hasil maklumat, pihak polis kemudiannya berjaya menahan tiga suspek iaitu anak tiri, cucu dan cicit mangsa sendiri yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu pukul 1.30 petang ini.

“Suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 42 tahun dan mereka dipercayai bertindak menjual barangan kemas itu pada harga RM2,000 untuk melangsaikan hutang.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, wang tunai RM1,250 seutas rantai tangan warna kekuningan, seutas rantai leher warna kekuningan dan sekeping kertas resit daripada kedai emas terbabit dan kerugian dianggarkan bernilai RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Noorzainy menambah, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×