KOTA BHARU 1 Ogos – Pas tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi supaya ahlinya mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini, Pas menyerahkan sepenuhnya kepada ahli untuk membuat pilihan pada 4 Ogos ini.
Dalam masa sama katanya, sebarang kenyataan yang menjadi arahan rasmi parti hanya boleh dikeluarkan oleh tiga pihak sahaja iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung sahaja.
“Pendirian rasmi Pas adalah sebagaimana dikeluarkan Setiausaha Agung iaitu terserah kepada ahli untuk mengundi, kenyataan orang lain tidak boleh mengatasi kenyataan rasmi parti,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan beberapa pimpinan termasuk Ahli Majlis Syura Pas Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali yang meminta pengundi Pas memilih calon BN, Datuk Lokman Noor Adam atas alasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menjaga dan menegakkan Islam.
Sebelum ini, Takiyuddin dalam satu kenyataan meminta ahli-ahli Pas di kawasan PRK DUN Sungai Kandis membuat pilihan berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam dan Melayu serta masa depan negara serta mengambil kira sikap Pas terhadap kerajaan baharu.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Takiyuddin pada 22 Julai lalu itu adalah jelas dan tidak mengelirukan penyokong parti itu.
“Kenyataan beliau itu jelas, terserah kepada ahli buat pertimbangan masing-masing, contoh kita keluar ramai-ramai dengan anak-anak, kita bagi duit setiap seorang, ikut kamulah nak makan apa makanlah, kita tak perlu arah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











