JOHOR BAHRU – Barisan pelakon siri aksi popular antarabangsa, Strike Back musim keenam mengakui berasa teruja sepanjang menjalani penggambaran drama rantaian tersebut di Malaysia.
Mula menjalani penggambaran di Malaysia sejak Mei lalu, barisan pelakon Daniel MacPherson, Warren Brown, Alin Sumarwata dan Yasemin Allen turut mengagumi perpaduan antara kaum di Malaysia.
Kata Sumarwata, selain pemandangan panorama yang menarik, lokasi percutian seperti Pulau Langkawi dan Pulau Pinang menjadi antara destinasi pilihannya di sini.
“Semangat perpaduan kaum yang pelbagai bangsa membuatkan saya berasa kagum dengan rakyat Malaysia. Penyatuan masyarakat daripada pelbagai bangsa merupakan satu perkara yang sukar untuk dilakukan.
“Saya melihat Malaysia sebagai negara Asia Tenggara yang lengkap dengan pemandangan dan lokasi percutian menarik serta keramahan penduduk,” katanya yang ditemui pada majlis sidang akhar drama tersebut di sini semalam.
Pada masa sama, penerbit siri tersebut Nuala O’Leary turut mengakui perkara sama sekali gus menjadi salah satu punca dia memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran.
“Menerusi siri sebelum ini kami belum pernah melakukan penggambaran di negara Asia Tenggara. Justeru pemilihan negara ini adalah tepat selain mempunyai banyak lokasi menarik,” ujarnya.
Selain Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur antara destinasi yang turut menjadi lokasi penggambaran siri televisyen edaran HBO itu dan bakal ditayangkan di saluran Cinemax kelak. – K! ONLINE











