Erma ingatkan Umie bermadu bukan mudah - Utusan Malaysia

Erma ingatkan Umie bermadu bukan mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pengarah dan pelakon ternama, Erma Fatima yang pernah melalui kehidupan bermadu menasihatkan adiknya, Datin Umie Aida agar berfikir panjang sebelum bersedia menerima kehadiran wanita lain sebagai madu dalam rumah tangga.

BERDASARKAN pengalamannya, Erma Fatima sebagai kakak, mengingatkan adiknya, Umie Aida bahawa kehidupan bermadu tidak seindah yang disangka.

Ini kerana, jelas Erma, berdasarkan pengalaman sendiri, kehidupan bermadu tidak seindah yang disangka, sebaliknya, menuntut tahap kesabaran yang tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bahkan, paling utama, tegas pencetus naskhah drama bersiri terkenal, Mak Cun ini lagi, Umie harus memastikan bakal madu yang dibenarkan berkongsi suami dengannya itu bukan seperti ‘beruk yang mendapat bunga’.

“Dalam hal ini bukan saya menyokong atau tidak dengan kenyataannya itu tetapi saya berkongsi berdasarkan pengalaman sendiri sebelum ini yang pernah hidup bermadu.

“Kalau Umie dan suami serta bakal madu okey, teruskan sajalah. Namun, urusan hidup bermadu ini bukan hanya membabitkan seorang tetapi ia memerlukan kesepakatan semua orang.

“Carilah madu yang bukan seperti beruk dapat bunga. Si madu perlu tahu dia telah ambil suami orang justeru itu perlu menghargai hak orang lain. Tidak boleh mementingkan diri sendiri dan ‘makan seorang’. Kalau tiada sikap begini (toleransi), hidup bermadu tidak akan menjadi,” kata Erma kepada wartawan ketika ditemui di sini hari ini.

Erma pernah melayari kehidupan berumah tangga selama 26 tahun dengan pengarah dan jurugambar ternama, Badaruddin Azmi sebelum pasangan berkenaan bercerai dengan talak satu pada 17 Ogos tahun lalu.

Semasa bergelar isteri juga, Erma pernah dimadukan apabila Badaruddin atau lebih dikenali sebagai Bade menikahi wanita bernama Aida pada awal 2014.

Hujung minggu lalu, adik Erma, Umie yang juga pelakon tersohor negara berkongsi luahan hati di laman sosial mengenai keterbukaannya memberi ‘lampu hijau’ kepada suaminya, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkahwin lagi.

Bintang utama filem Dukun itu merelakan suaminya berpoligami bagi mengelakkan berlaku sebarang perbuatan maksiat atau sebarang perkara yang tidak elok.

Umie dan suaminya yang juga seorang ahli politik bernikah di Masjidil Haram, Mekah pada 14 Mac 2010.

Berkongsi nasihat mengenai kehidupan berpoligami juga, Erma berkata, tidak kira mana-mana wanita sekalipun yang mengambil hak orang lain harus tahu kepentingan bertolak ansur.

“Jangan kepung seorang. Kena ingat dia berkongsi suami dengan orang lain. Sama juga macam kita ambil barang orang lain, kena hargai,” ujar Erma lagi. – UTUSAN ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×