Saya telah berusaha dan tegas mencari jawapan - Azharuddin - Utusan Malaysia

Saya telah berusaha dan tegas mencari jawapan – Azharuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 31 Julai – Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi mengambil tanggungjawab terhadap penemuan-penemuan Laporan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 terhadap kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menurut beliau, walaupun laporan berkenaan tidak mencadangkan insiden berkenaan berpunca daripada Jabatan Penerbangan Awam ( nama lama CAAM) namun terdapat beberapa penemuan jelas berkaitan operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATSC) yang mana dinyatakan pengawal trafik udara tidak mematuhi prosedur operasi standard tertentu.

“Maka, dengan rasa kesal dan selepas berfikir panjang, saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi CAAM berkuatkuasa 14 hari dari tarikh surat peletakan jawatan yang saya hantar hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sepanjang empat tahun lalu, saya telah mencuba yang terbaik untuk membantu dalam pencarian MH370 dan saya sentiasa tegas dalam mencari jawapan terhadap tragedi malang ini yang kita berhutang kepada keluarga mangsa dan orang tersayang. Saya sedih terpaksa meninggalkan di bawah keadaan ini.

“Berkhidmat dalam industri untuk lebih 40 tahun telah menjadi penghormatan besar dalam hidup saya dan saya meminta maaf kerana tidak dapat memenuhi tempoh selebihnya perkhidmatan saya. Penerbangan merupakan teras dalam hidup saya sejak kecil dan akan kekal sepanjang hayat saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac 2014 lalu.

Azharuddin merupakan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam atau singkatannya DCA semasa tragedi pesawat berkenaan hilang semasa penerbangan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×