KUALA LUMPUR 31 Julai – Pakatan Harapan (PH) didakwa memungkiri janji apabila lantikan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) baharu dibuat bertentangan dengan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan mendakwa, berdasarkan aku janji tersebut PH menetapkan mana-mana lantikan ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan (GLC) perlu terdiri dalam kalangan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik.
Keputusan itu, ujarnya, langsung tidak mencerminkan Malaysia baharu yang lebih telus serta adil dan seolah-olah individu yang tidak sehaluan dengan kerajaan akan diketepikan walaupun mempunyai rekod yang cemerlang.
“Jika sebelum ini Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar menjadi korban politik kerajaan, hari ini Tan Sri Azman Mokhtar (Pengarah Urusan Khazanah) pula yang menjadi mangsa.
“Apa yang paling merisaukan adalah ketidaktentuan hala tuju Khazanah selepas ini. Jika hala tuju selama ini yang telah memberi pulangan baik tidak diminati oleh pentadbiran kerajaan sekarang, apa pula hala tuju baru Khazanah? Apakah yang akan berlaku kepada RM157 bilion aset Khazanah yang seharusnya masih boleh menjana pulangan baru kepada negara?,” katanya di Facebook beliau hari ini. – UTUSAN ONLINE











