Pelaksanaan polisi 1980-an boleh bebankan rakyat - Utusan Malaysia

Pelaksanaan polisi 1980-an boleh bebankan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau bimbang sekiranya kemungkinan kerajaan untuk berpatah balik kepada pelaksanaan polisi 1980-an dan 1990-an boleh memberi beban kepada rakyat.

Tambahnya, Malaysia menandatangani pelbagai perjanjian perdagangan bebas dan peningkatan perlindungan terhadap pasaran tempatan akan mencetuskan tindak balas daripada negara lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Laporan terkini bahawa Malaysia mungkin akan berpatah balik kepada polisi 1980 dan 1990-an amat membimbangkan. Saya gesa kerajaan baharu untuk membuat pertimbangan sewajar-wajarnya kerana pelaksanaannya akan pasti membebankan rakyat, sekali lagi.

“Malaysia adalah penandatangan kepada pelbagai perjanjian perdagangan bebas. Meningkatkan perlindungan akan turut mencetuskan tindak balas daripada negara lain dan ini akan menyebabkan harga barang lebih tinggi yang perlu dibayar rakyat Malaysia dan eksport yang kurang kompetitif daripada pelbagai industri negara ini,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook miliknya hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini memberitahu, punca utama kegagalan industri automotif tempatan adalah dasar kerajaan yang terlalu terbuka dengan membenarkan kenderaan dari luar negara dibawa masuk tanpa sebarang sekatan atau syarat.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan prestasi Proton merosot kerana terpaksa bersaing dengan kereta import dari syarikat gergasi.

Sementara itu, jelas Najib, biarpun ramai pihak menuduhnya tidak memberi sokongan Proton, namun hakikatnya adalah tidak benar.

“Harus saya nyatakan bahawa kerajaan saya menyediakan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM1.1 bilion dan pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton, itu pun hanya apabila mereka membuktikan mempunyai pelan mampan yang mampu dilaksanakan.

“Ketika saya dilantik sebagai Perdana Menteri dan sebelum hubungan dengan Dr. Mahathir menjadi renggang, kerajaan memberi sokongan kepadanya untuk projek kenderaan elektriknya.

“Melalui permintaan dibuat Dr. Mahathir, satu geran RM270 juta diberikan kepada Proton pada 2010 bagi menjalin satu kerjasama perniagaan dengan sebuah syarikat United Kingdom dimiliki rakannya, Kamal Siddiqi bagi memajukan kereta dan lori elektrik,” katanya.

Bagaimanapun, kata Najib, pelaburan tersebut gagal dan kerajaan membuat keputusan untuk tidak menyalurkan lagi dana dan turut menyebabkan kemarahan Dr. Mahathir.

“Saya berpendirian bahawa rakyat tidak seharusnya menanggung masalah Proton dan syarikat itu perlu bersaing pada keupayaan sendiri sebagaimana dilakukan Perodua.

“Jika Perodua mampu menjadi jenama kereta paling teratas di negara ini, tiada alasan Proton untuk tidak mencapai kedudukan sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×