TPM sedih kejadian taufan Jongdari di Jepun - Utusan Malaysia

TPM sedih kejadian taufan Jongdari di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Julai – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas kejadian taufan Jongdari yang membadai Jepun, semalam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, lebih dahsyat kejadian tersebut berlaku beberapa hari selepas negara itu dilanda cuaca panas melampau yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 65 terkorban.

“Saya sangat sedih dan bimbang selepas mengetahui berita taufan Jongdari yang melanda Jepun telah menyebabkan kecederaan dan memutuskan kuasa elektrik kepada puluhan ribu rumah.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada semua yang terjejas dan keluarga mereka,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya hari ini.

Taufan Jongdari dilaporkan membadai kawasan Ise di wilayah Mie semalam, kawasan sama yang dilanda banjir dan tanah runtuh awal bulan ini.

Taufan yang membawa angin dengan kelajuan 180 kilometer sejam telah mencederakan kira-kira 21 orang dan lebih 170 penerbangan tempatan terpaksa dibatalkan manakala perkhidmatan kereta api turut terganggu.

Sementara itu, menurut Dr. Wan Azizah, kerajaan Malaysia akan sentiasa bersama Jepun dan bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

“Saya berdoa mereka terjejas diberikan kekuatan dan kawasan terjejas akan pulih secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×