Inisiatif strategik KWSP buahkan hasil - Utusan Malaysia

Inisiatif strategik KWSP buahkan hasil

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa inisiatif strategik yang dijalankan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuahkan hasil apabila berjaya mempamerkan peningkatan dalam prestasinya untuk suku ketiga 2020.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, inisiatif itu termasuk mempelbagaikan aset pelaburannya ke arah pasaran luar negara.

“Segmen ini menyumbang 45 peratus kepada pendapatan pelaburan kasarnya pada suku ketiga berbanding peruntukannya sebanyak 32 peratus daripada keseluruhan aset.

“Tambahan lagi, strategi seimbang KWSP di mana hampir separuh asetnya diletakkan di bawah instrumen pendapatan tetap berjaya melindungi mereka daripada ketidaktentuan pasaran ekuiti disebabkan pandemik Covid-19 sepanjang tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM17.33 bilion untuk suku ketiga berakhir 30 September tahun ini, walaupun berhadapan ketidaktentuan dalam pasaran modal.

Menurut dana simpanan pekerja itu, untuk suku tersebut, ekuiti menyumbang RM7.29 bilion atau 42 peratus kepada ke­seluruhan pendapatan pelaburan tetapnya sementara instrumen pendapatan tetapnya mengumpul RM8.18 bilion.

Segmen hartanah dan infrastruktur pula menyumbang RM1.63 bilion manakala instrumen pasaran wang meraih RM0.23 bilion.

Menurut Ahmed Razman, apa yang ditunjukkan melalui pres­tasi KWSP dalam suku ketiga adalah pemulihan yang berterusan pulangan pelaburannya.
“Pulangan pelaburan KWSP meningkat 14 peratus berban­ding suku sebelumnya.

“Malah, ia juga lebih tinggi daripada pulangan pada suku sama tahun lalu, iaitu RM13.5 bilion,” katanya.

Ahmed Razman berpanda­ngan, kejayaan KWSP dalam suku tersebut, terutamanya kemampuan untuk mendorong prestasi cemerlang aset ekuiti adalah hasil kompetensi dan profesionalisme pasukan pengurusannya.

Beliau turut menjangkakan KWSP akan terus menunjukkan peningkatan positif pada suku keempat.

“Selain disebabkan ciri-ciri positif yang saya nyatakan sebelum ini, suku keempat juga menunjukkan lebih banyak indikator pemulihan ekonomi yang positif seperti indeks pengeluaran, ringgit yang me­ngukuh serta eksport yang kekal tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×