SENARIO di negara kita memperlihatkan peningkatan jumlah kecederaan serius atau kematian kanak-kanak yang disebabkan oleh kelalaian atau kecuaian pengasuh. Perbuatan mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya adalah suatu kesalahan berat.
Inikan pula menyebabkan kecederaan serius, kecacatan atau kematian. Pada tahun 2018 ini sahaja beberapa kejadian tragis yang menyedihkan berlaku secara berturutan iaitu kes Noor Aqilah Abd Rahman, 33 tahun, pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi lima bulan, didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 13 Julai atas dua tuduhan. Pertama, Noor Aqilah didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala kanak-kanak berkenaan pada 3 Julai.
Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala.
Susulan ini, pengasuh ini didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pertuduhan kedua ialah Noor Aqilah dituduh melupus mayat Adam Rayqal dalam bahagian sejuk beku peti ais rumahnya dengan niat menyembunyikan kematian mangsa supaya terlepas daripada hukuman.
Berikutan ini dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan [Akta 574], yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda melupuskan mayat mangsa bagi menyembunyikan kejadian tersebut.
Kemudian berlaku lagi kes tragis di mana Naufal Amsyar bin Nabil Fikri, seorang bayi lelaki 10 bulan yang parah pada kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuhnya, meninggal dunia pada 21 Julai selepas empat hari dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Bayi malang ini dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun pada mulanya dipercayai diserang sawan. Tetapi hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi tersebut selain pendarahan
pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.
Susulan daripada itu, polis menahan pengasuh terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, pada 3 Julai, seorang pengasuh Asmarani Ghazali, 39 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh kanak-kanak berusia dua tahun di rumahnya di Taman Tuanku Jaafar.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Undang-undang amat jelas bahawa selagi kanak-kanak berada dalam jagaan pengasuh, maka pengasuh bertanggungjawab ke atas mereka meskipun insiden yang berlaku mungkin kesilapan yang tidak disengajakan, jauh sekali dengan niat untuk
membunuh.
Namun, kecuaian juga merupakan suatu bentuk kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Di New York, seorang pengasuh mendakwa dirinya dalam keadaan gila dan tidak sedarkan diri ketika membunuh dua kanak-kanak asuhannya. Tertuduh Yoselyn Ortega, 55 tahun, sewaktu dalam pembicaraan mahkamah pada April 2018 turut mendakwa
dirinya berada dalam keadaan tidak waras ketika dia menikam mati Lucia, enam tahun sebanyak 30 kali dan Leo, tiga tahun sebanyak lima kali pada Oktober 2012.
Namun pihak pendakwaraya menafikan kenyataan tersebut kerana mereka percaya bahawa Ortega berada dalam keadaan sedar ketika membunuh kedua-dua kanak-kanak itu.
Pengasuh itu didakwa melakukan pembunuhan itu atas motif cemburu dan benci terhadap ibu mangsa. Ortega akhirnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Sesuatu yang tegas patut dilakukan. Di antara keselamatan kanak-kanak dan hukuman ke atas pengasuh kerana kecuaian atau perbuatan kejam, siapakah yang perlu undang-undang utamakan?
Kita perlu memikirkan keselamatan kanak-kanak. Ini merupakan obligasi untuk memastikan pembangunan dan perlindungan yang sihat kepada semua kanak-kanak di negara ini berdasarkan penerimaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (United Nations Convention on the Rights of the Child) (CRC).
Semua penelitian adalah untuk kepentingan terbaik kepada kanak-kanak.
Di Malaysia, kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun diberi perlindungan khas dan dikawal di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang diluluskan bagi tujuan menjaga kepentingan kanak-kanak.
Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 pula dibuat sebagai penambahbaikan ke atas Akta Kanak-Kanak 2001 ini demi memperkasakan perlindungan ke atas mereka yang masih di bawah 18 tahun.
Dasar Perlindungan Kanak-Kanak turut diperkenalkan di mana adalah menjadi tanggungjawab bersama setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat dalam memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak.
Merujuk Artikel 2(2) CRC, Malaysia sebagai negara ahli dalam CRC dikehendaki mengambil segala langkah yang sesuai untuk memastikan bahawa kanak-kanak dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi atau hukuman berdasarkan status, aktiviti,
pernyataan pendapat, atau kepercayaan ibu bapa kanak-kanak, penjaga yang sah, atau ahli keluarganya.
Setakat ini banyak cadangan agar kerajaan mengambil tindakan drastik susulan insiden-insiden berkenaan antaranya dengan menguatkuasakan undang-undang.
Ditambah lagi yang menuntut supaya kerajaan harus mewajibkan semua pengasuh sama ada yang mengasuh di kediaman sendiri atau pusat asuhan supaya berdaftar dengan kementerian berkaitan.
Kementerian kemudiannya boleh memaparkan kepada umum pengasuh yang berdaftar dengan mereka supaya dapat meyakinkan ibu bapa.
Selain itu disarankan juga supaya satu pusat latihan untuk melatih pengasuh diwujudkan supaya pengasuh dapat menjalankan tugas secara professional.
Kesemua cadangan ini telah beberapa kali dicadangkan malahan ada yang telahpun dilaksanakan.
Contohnya penguatkuasaan undang-undang diimplimentasikan sejajar dengan insiden kes. Namun hukuman yang dikenakan tidak dapat menggentarkan pelaku kerana insiden yang sama berterusan berlaku.
Ini seolah-olah mereka tidak mempunyai hati naruni dan perasaan ehsan sesama manusia apatah lagi terhadap bayi yang tidak berdosa.
Jelas bahawa aspek kerohanian juga perlu dipupuk. Contohnya kes yang berlaku di Terengganu pada tahun 2017 di mana pengasuh Asmayuzi Ismail@ Abdul Wahab mengaku bersalah menganiaya bayi berusia tujuh
bulan di bawah asuhannya sehingga mengalami kecederaan fizikal termasuk buta mata kiri.
Pengasuh ini didakwa mengikut Seksyen 3 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengaku menganiaya bayi berkenaan ekoran mengalami tekanan emosi disebabkan penyakit HIV yang dijangkiti daripada suaminya yang merupakan seorang penagih dadah selain faktor kemiskinan keluarganya.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun sedangkan mangsa yang dipukul pada bahagian kiri kepala mengalami kecederaan serius iaitu mengalami pendarahan otak sehingga mangsa turut diserang sawan dan mengalami pendarahan pada
mata kiri.
Masa depan mangsa gelap kerana belum dipastikan sama ada buta pada mata kiri mangsa bersifat kekal atau sementara dan mangsa yang kini masih lagi menerima rawatan.
Seksyen 31(5) Akta 611 memperuntukkan bahawa kesalahan ke atas pesalah masih boleh disabitkan walaupun penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan kanak-kanak yang berkenaan telah dielakkan melalui tindakan orang lain atau kanak-kanak yang berkenaan telah mati.
Bagi kes di mana pengasuh yang melakukan apa-apa tindakan secara terburu-buru atau cuai (yang tidak terjumlah kepada pembunuhan tanpa niat) sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak, tindakan boleh diambil di bawah seksyen 304A Kanun Keseksaan [Akta 574].
Sabit kesalahan pesalah boleh dihukum dengan hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah Persekutuan di dalam kes Adnan bin Khamis lwn Public Prosecutor, memutuskan bahawa untuk menentukan sama ada seseorang tertuduh dikatakan terburu-buru atau cuai bagi maksud kesalahan di bawah seksyen 304A Akta 574 adalah untuk
mengguna pakai “reasonable test” iaitu mana-mana orang yang munasabah yang mengalami keadaan yang sama akan sedar kemungkinan kerosakan atau kecederaan terhadap orang lain akibat daripada kelakuan sedemikian dan mengambil langkah
berjaga-jaga yang mencukupi dan wajar untuk mengelakkan kerosakan atau kecederaan tersebut.
Merujuk kes-kes penganiayaan pengasuh terhadap kanak-kanak, adakah pengasuh berkenaan secara munasabahnya sedar kemungkinan berlaku kerosakan atau kecederaan atau kematian terhadap kanak-kanak asuhannya akibat daripada perlakuannya?
Hak kanak-kanak di Malaysia telah berkembang dengan ketara sejak Malaysia merupakan signatori bagi Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) pada tahun 1995 dan memperkenalkan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta
611] pada tahun 2001.
Banyak inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk melindungi dan menegakkan hak kanak-kanak. Namun begitu, kes kecuaian dan pengabaian kanak-kanak masih kekal sebagai cabaran utama sehingga kini.
Roos Niza Mohd Shariff adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah










